Tiada solat jemaah, tarawih di masjid dan surau

0
132
Tiada solat jemaah, tarawih di masjid dan surau sepanjang PKP.

Oleh SITI KHAIRULNISAH MOHAMMED BAJURI

CYBERJAYA – Kerajaan memutuskan tiada solat fardu, tarawih dan solat Jumaat secara berjemaah di masjid serta surau dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad berkata, rakyat kini memasuki Ramadan dalam era normal baharu apabila tidak ada solat solat fardu berjemaah, solat Jumaat dan solat Tarawih berjemaah di masjid dan surau dalam tempoh tersebut.

Dalam masa sama, katanya, tidak ada juga majlis berbuka puasa atau moreh selepas selesai solat Tarawih di masjid dan surau dalam tempoh PKP.

“Alternatifnya hidupkan ibadah dan tradisi Ramadan kita di rumah. Kita semua hendak beribadah dalam Ramadan sebagaimana sedia kala kerana ia adalah usaha memelihara agama (hifz al-din) dalam maqasid al-syariah.

“Namun, memelihara nyawa (Hifz al-Nafs) juga adalah penting ketika ini. Akhirnya, kita akan dapat satu jawapan; matlamat hifz al-din takkan tercapai kecuali dengan Hifz al-Nafs,” katanya pada sidang akhbar, hari ini.

Dr Zulkifli berkata, pihaknya bukan ingin menghalang melakukan ibadah tetapi apa yang ditekankan pelaksanaan solat berjemaah ia dibenarkan dengan dilakukan di rumah masing-masing.

“Takkan anak ada masa lapang, suami, isteri ada duduk solat sendirian tetapi solatlah berjemaah dan kalau boleh ada penjarakan sedikit.

“Cuma yang kita jaga konsep jemaah beramai-ramai dalam jumlah yang besar mungkin akan tersebar wabak itu di mana natijahnya mungkin tidak akan menyelesaikan dan mengambil tempoh lama untuk dipulihkan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memohon rakyat Malaysia supaya mematuhi apa yang ditetapkan pemerintah dan berdoa kepada Allah agar ia dapat diselesaikan.

“Kita (semua) rindukan masjid dan surau dan harap ia akan dapat beroperasi seperti sedia kala selepas ini.

“Sejujurnya saya mahukan Ramadan yang terbaik untuk umat Islam di Malaysia. Saya bersyukur kerana anda semua amat memahami dan bersama-sama saya untuk memutuskan rantaian wabak Covid-19. Yakinlah, Allah melihat apa yang kita lakukan, mendengar apa yang kita doakan,” katanya. – MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here