Tidak benar dakwaan VIP kebal tindakan undang-undang – Ismail Sabri

0
165

Gambar yang tular sejak kelmarin menunjukkan terdapat anggota kerajaan dan ahli politik yang tidak mematuhi arahan PKP

CYBERJAYA – Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menafikan kerajaan mengambil sikap ‘double standard’ dengan tidak mengambil tindakan terhadap orang kenamaan atau anggota kerajaan yang sengaja melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata, tanggapan itu tidak betul dan siapa sahaja tidak terlepas daripada tindakan undang-undang.

“Tiada sapa yang terlepas daripada tindakan undang-undang jika ingkar PKP. Dalam kes melibatkan anggota kerajaan saya difahamkan polis sudah panggil individu berkenaan, tindakan seterusnya bergantung pada polis.

“Tidak betul tanggapan dan tuduhan orang di luar sana bahawa ada perbezaan dari segi pendekatan polis terhadap setiap pesalah yang mengingkari PKP,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-Menteri Mengenai PKP hari ini.

Dalam pada itu, ditanya adakah wakil rakyat dibenarkan menyerahkan bantuan, beliau berkata, kebenaran tersebut diberikan tetapi dengan syarat mereka juga perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Wakil rakyat antara individu atau kumpulan yang dibenarkan bertugas, tapi masih tertakluk kepada SOP seperti tidak boleh adakan perjumpaan dan tidak boleh adakan program serah bantuan secara besar-besaran.

“Selain itu, mereka juga tidak dibenarkan untuk keluar secara beramai-ramai dengan menggunakan kereta, cukup dua atau tiga orang sahaja keluar untuk serahkan bantuan,” katanya.

Berikutan itu, Ismail Sabri menasihatkan semua wakil rakyat menggunakan khidmat barisan hadapan seperti Rela dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam mengagihkan bantuan.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here