Tidak sah solat terawih berjemaah dalam talian

0
108
Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri

CYBERJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri menegaskan solat terawih tidak dibenarkan dilakukan secara dalam talian ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Memetik laporan Berita Harian, beliau berkata,
syarat sah solat secara berjemaah adalah perlu ada fizikal dan nampak pergerakan dilakukan imam terbabit ketika solat.

Berikutan itu, beliau meminta, orang ramai bersolat di rumah sepanjang tempoh itu bagi memutuskan rantaian jangkitan wabak Covid-19.

“Sekiranya diadakan secara dalam talian, pergerakan imam itu tidak dapat dilihat termasuk berhadapan dengan masalah talian internet ketika solat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Zakat Fitrah Online Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Penyerahan Sumbangan Tabung Musa’adah Khaira PPZ hari ini.

Bula Ramadan tahun ini dijangka disambut pada Jumaat ini iaitu kira-kira empat hari sebelum PKP fasa ke tiga tamat iaitu pada 28 April.

Zulkifli berkata, solat terawih lebih elok diadakan di rumah bersama keluarga kerana buat masa ini kesihatan orang awam perlu diutamakan.

Dalam pada itu, katanya, hari ini satu Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas Kali Ke-3, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) diadakan bagi mengadakan ketetapan seragam tiada solat terawih secara berjemaah diadakan di surau dan masjid seluruh negara.

Menurutnya, mesyuarat itu juga akan membincang dan menerima pandangan ulama negeri lain berkenaan pernikahan secara dalam talian.

“Sekiranya pernikahan secara dalam talian itu dipersetujui oleh semua pihak maka inisiatif itu boleh dilaksanakan secara meluas di seluruh negara sepanjang PKP,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here