Tidak tumpu soal pertelingkahan politik, tindakan tepat

0
125

CYBERJAYA – Tindakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengambil pendekatan tidak memberi tumpuan kepada soal politik kerana masalah rakyat sudah muak dengan pertelingkahan tidak berkesudahan adalah satu langkah tepat.

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Aminuddin Yahaya turut menyeru ahli politik supaya jangan menjadikan isu-isu kecil sebagai alat politik murahan.

“Jawatan adalah amanah manakala politik itu adalah pilihan. Jadi, mengutamakan amanah adalah lebih besar daripada berpolitik terutama masa gawa ini.

“Isu rakyat sekarang ialah bagaimana nak hidup bukan untuk melihat perebutan kuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas wawancara Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung menerusi saluran RTM dan Astro Awani dengan menegaskan bahawa tumpuan kerajaan Perikatan Nasional sebaik mengambil tampuk negara adalah untuk memastikan kerajaan berfungsi dengan baik demi kepentingan negara dan rakyat, berbanding isu politik. 

Muhyiddin berkata, sebagai Perdana Menteri tugas utama adalah untuk memastikan amanah yang dipertanggungjawabkan dapat dilaksanakan sepenuhnya.

Aminuddin menambah, dengan keadaan ekonomi yang semakin meruncing, pengangguran semakin meningkat, pendapatan semakin mengurang maka tugas utama kerajaan ialah bagaimana memastikan rakyat dapat meneruskan kelangsungan hidup.

“Semua pihak perlu berganding bahu untuk sama-sama menyelesaikan masalah itu tatkala negara sedang dilanda krisis kerana wabak Covid-19.

“Apa yang berlaku 22 bulan lepas dan tiga minggu pergolakkan politik sehingga melibatkan Yang di-Pertuan Agong benar-benar memualkan rakyat dan mereka tidak mahu lagi dibebani isu politik,” jelasnya.

Aminuddin berkata, lagipun Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sudah tinggal kira-kira tiga tahun saja lagi atau mungkin awal, jadi orang-orang politik dminta bersabar seketika.

“Syabas kepada Tan Sri Muhyiddin kerana menunjukkan tauladan yang sangat baik dan kematangan tinggi dalam memimpin negara terutamanya tatkala dalam krisis,” ujar beliau. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here