Timbalan Menteri, EXCO Perak didenda langgar SOP – Ismail Sabri

0
121
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Oleh SITI KHAIRULNISAH MOHAMMED BAJURI

CYBERJAYA – Perbezaan hukuman yang dikenakan terhadap individu yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dijatuhkan oleh mahkamah berlaku disebabkan oleh kesalahan yang dilakukan adalah berbeza mengikut peraturan dan pertuduhan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ada individu yang dikenakan hukuman penjara berikutan mereka melanggar peraturan undang-undang di bawah peruntukan mengikut Kanun Keseksaan termasuk menghalang penjawat awam.

“Ramai netizen (warga maya) membandingkan. Seperti yang saya jelaskan, tiada sesiapa yang mengatasi undang-undang di negara kita dan kerajaan bersikap adil kepada semua.

“Sesiapa yang melanggar undang-undang akan diambil tindakan, tanpa mengira sebarang kedudukan. Ini jelas apabila dua daripada orang kenamaan kita juga dihukum oleh mahkamah,” katanya.

Beliau berkata demikan pada sidang akhbar, hari ini.

Ismail Sabri berkata, kes seorang Timbalan Menteri Kesihatan dan Exco Perak dikenakan hukuman denda maksimum RM1,000 oleh mahkamah di atas kesalahan melanggar SOP bawah PKP dan bukannya melanggar arahan PKP itu sendiri.

Jelasnya, wakil rakyat adalah individu yang dibenarkan untuk menjaga rakyat dan pengundi mereka dan boleh bergerak untuk menyerahkan bantuan kepada pengundi dan rakyat di kawasan yang diwakilinya.

“Namun, kerana mereka melakukan kesalahan dari segi penjarakan sosial, tindakan yang dikenakan adalah mengikut Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) dengan hukuman maksimum sebanyak RM1,000.

“Hukuman itu juga sudah maksimum sedangkan mahkamah boleh menetapkan mungkin RM100 atau RM200 saja kerana dalam undang-undang hanya disebut maksimum.

“Kesalahan lain, saya pernah sebutkan, ramai yang dipenjara, bukan bawah PKP semata-mata tetapi kesalahan lain mengikut Kanun Keseksaan (KK), yang ditangkap kerana menghalang tugas penjawat awam,” katanya.

Ismail Sabri menjelaskan, ada antara mereka yang ditahan itu, bukan sekadar menghalang penjawat awam menjalankan tugas termasuk menangkap mereka malah ada yang melanggar sekatan jalan raya sehingga mencederakan anggota polis.

“Jadi bermakna, yang dipenjara itu bukan hanya melanggar SOP tetapi dipenjara itu kerana melakukan kesalahan lain, melanggar Kanun Keseksaan dan sebagainya, disebabkan itulah hukuman mereka berbeza.

“Bukan ada dua darjat seperti yang cuba digambarkan oleh ramai di luar sana,” katanya. – MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here