Tindakan halang bot Rohingya berlandaskan kedaulatan sempadan negara

0
200

CYBERJAYA – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, tindakan kerajaan tidak membenarkan bot yang membawa etnik Rohingya memasuki perairan negara pada 17 April lalu berlandaskan undang-undang kedaulatan sempadan Malaysia daripada diceroboh.

Menurut beliau, bagaimanapun atas dasar kemanusiaan pihak berkuasa mengagihkan bekalan makanan sebelum mengiringi bot tersebut keluar dari kawasan perairan negara.

“Tindakan memperketatkan sempadan termasuk lorong-lorong tikus bagi menghalang pencerobohan pendatang asing tanpa izin (PATI) adalah selari langkah kerajaan menutup pintu masuk negara kepada warga asing bagi memutuskan rantaian penularan Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hamzah menambah, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) polis telah menerima 19 laporan terhadap pemegang kad UNHCR daripada etnik Rohingya yang mana empat kertas siasatan telah dibuka.

Beliau berkata, selain itu dua tekong warganegara Myanmar bakal dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan terlibat dengan sindiket menyeludup masuk PATI yang memegang kad UNHCR ke dalam negara.

“Kementerian ingin menegaskan pihak berkuasa akan terus bersiap-siaga bagi menghalang sebarang pencerobohan terhadap sempadan mahupun perairan negara.

“Pada masa sama, PATI yang memegang kad UNHCR di Malaysia diingatkan agar terus menghormati dan mematuhi undang-undang negara ini,” tegas beliau. – MT  

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here