Tindakan pantas kerajaan berjaya elak wujud kluster luar negara

0
127
Sebahagian rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara menunjukkan tiket penerbangan mereka baru-baru ini

CYBERJAYA – Tindakan kerajaan memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan mengarahkan semua rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara menjalani proses kuarantin wajib semakin menunjukkan kejayaan awal untuk mengawal penularan wabak Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pegumuman oleh Ketua Pengarah Kesihatan sejak beberapa hari lalu bahawa terdapat trend penurunan jangkitan wabak tersebut menunjukkan tindakan diperkenalkan kerajaan adalah tepat.

Beliau berkata, kerajaan percaya dengan pelaksanaan PKP yang dilakukan sekarang, rantaian Covid-19 dapat diputuskan.

“Ada satu lagi keputusan tepat oleh kerajaan iaitu apabila semasa PKP kedua kita perkenalkan kuarantin wajib kepada rakyat kita yang pulang dari luar negara

“Sebelum ini kita memang lihat ada negara lain yang mengarahkan rakyat mereka buat kuarantin sendiri tetapi akhirnya berlaku kenaikan mendadak Covid-19,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-Menteri Mengenai PKP hari ini.

Beliau berkata, kerajaan memahami terdapat pihak yang kurang senang dengan langkah melaksanakan kuarantin wajib itu namun, perkara itu terpaksa dilakukan bagi mengelakkan kesan buruk seperti berlaku di negara lain.

“Kita faham ramai kurang senang dengan langkah yang kita perkenalkan ini namum, daripada laporan Kementerian Kesihatan terdapat 17 kes positif Covid-19 dalam kalangan rakyat kita yang pulang dari luar negara.

“Cuba bayangkan kita bebaskan mereka pulang ke rumah untuk lakukan kuarantin sendiri, sudah pasti keluarga mereka akan terdedah dengan Covid-19, dan kemudian ada keluarga mereka keluar ke pasar raya untuk beli barangan keperluan, tentu sahaja jangkitan ini akan merebak lebih luas dan wujud kluster baharu yang pulang dari luar negara,” katanya.

Sehubungan itu, Ismail Sabri merayu kepada orang ramai supaya mematuhi setiap arahan dikeluarkan kerajaan demi keselamatan dan kesejahteraan semua pihak.

Beliau berkata, jika arahan tersebut dipatuhi perintah PKP akan dapat ditamatkan.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here