Tinggal 5.9 juta topeng muka belum diagihkan

0
37

CYBERJAYA – Sebanyak 24.8 juta keping topeng muka telah diagihkan oleh kerajaan kepada orang ramai sehingga semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jumlah itu bersamaan lebih 81 peratus daripada jumlah keseluruhan 30.7 juta yang diperuntukan kerajaan untuk diagihkan.

“Proses pengagihan ini diurus dan diselaraskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Daerah melalui 162 pejabat daerah.

“Sehingga semalam sebanyak 24.8 juta keping topeng muka (81 peratus) telah diagihkan, yang mana setiap isi rumah telah diberi empat keping topeng muka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-Menteri Mengenai PKP hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, bekalan topeng muka tersebut juga telah dihantar ke Sabah dan Sarawak dan dalam proses pengagihan ke setiap daerah.

Namun begitu, katanya, disebabkan terdapat kawasan di negeri tersebut yang terletak agak jauh, kerajaan terpaksa mengambil sedikit masa untuk menghantarkannya.

Ismail Sabri berkata, pihaknya yakin pada minggu hadapan semua proses pengagihan topeng muka itu akan diselesaikan.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here