Tolong guna PPE secara cermat, berhemah

0
211

Oleh NURUL FIRDAUS KHAIRI

CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) memohon sesiapa sahaja termasuk kakitangan yang mempunyai maklumat kekurangan peralatan perlindungan diri (PPE) membantu KKM dengan mengemukakan maklumat terus kepada pegawai yang dikenal pasti di peringkat negeri untuk semakan segera dan tindakan mobilisasi mengikut keperluan dan prioriti.

Ketua Pengarahnya, Datuk Noor Hisham Abdullah berkata, isu berkaitan kekurangan PPE adalah isu global di mana hampir semua negara terkesan dengan penularan wabak Covid-19 dan penggunaan PPE telah meningkat secara amat mendadak.

Menurutnya, isu ini sememangnya rumit, namun diperhatikan bahawa setakat ini di KKM, isu utama adalah berkaitan distribusi dan mobilisasi stok ke fasiliti yang menghadapi kekurangan PPE, serta pola penggunaan PPE oleh petugas kesihatan.

“Sumbangan PPE oleh pelbagai pihak sememangnya membantu dan jutaan terima kasih diucapkan.

“Bagi memantau rapat paras stok dan kadar penggunaan bagi setiap jenis PPE di setiap negeri, KKM telah menggunakan sistem database mudah yang dikendalikan oleh pegawai di setiap jabatan kesihatan negeri, hospital-hospital dan pejabat kesihatan daerah termasuk semua klinik kesihatan di bawah PKD masing-masing di mana pelaporan harian dibuat secara atas talian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Noor Hisham berkata, laporan ini dipantau rapat di peringkat ibu pejabat KKM dan tindakan mobilisasi stok akan dibuat terus sekiranya didapati terdapat stok yang berkurangan bagi mana-mana fasiliti KKM.

Katanya, senarai nama, nombor telefon dan emel pegawai bagi setiap negeri juga disertakan.

“KKM juga menyeru penggunaan PPE secara cermat dan berhemah oleh semua kakitangan KKM.

” Perjuangan ini masih panjang. Andalah aset utama negara dalam menghadapi penularan Covid-19 ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here