Trump henti sumbangan kepada WHO

0
236
Donald Trump

WASHINGTON – Presiden Donald Trump semalam mengumumkan pentadbirannya akan menghentikan sumbangan negara itu kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lapor agensi berita Xinhua.

Bercakap kepada wartawan di Rumah Putih, Trump berkata, penilaian juga sedang dilakukan mengenai peranan WHO dalam menangani penularan wabak Covid-19.

Pengumuman itu menyusul ketika Trump agresif mempertahankan caranya mengendalikan wabak Covid-19 di Amerika Syarikat (AS) berikutan pentadbirannya dilihat memperkecil ancaman wabak itu sejak awal dan lambat bertindak.

“Koronavirus terkawal di AS,” tulis Trump menerusi Twitter miliknya pada 24 Februari beberapa hari sebelum AS melaporkan kematian pertama Covid-19.

“Kami telah berhubung dengan semua orang dan negara yang berkaitan. CDC dan Kesihatan Sedunia sudah bekerja keras dan sangat pintar,” katanya seperti dilaporkan Bernama hari ini.

Lawrence Gostin, seorang pengarah di Institut O’Neill, berkata, pemotongan dana kepada WHO semasa krisis kesihatan global satu tindakan yang ‘memalukan,’, sambil memberi amaran ia boleh menyebabkan kematian dan akan memberi kesan buruk kepada AS sendiri.

“Sepatutnya ketika ini global memerlukan kerjasama yang lebih banyak berbanding sebelumnya,” kata Gostin dalam Twitter miliknya pada Selasa.

Pada minggu lalu di Geneva, Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus mengatakan, dunia perlu berhenti mempolitikkan isu virus ini di peringkat nasional mahupun global.

“Kita harus bekerjasama dan kita tidak boleh buang masa,” tambahnya.

Menurut Johns Hopkins University pada Selasa, AS melaporkan lebih 600,000 kes Covid-19 dan 25,575 kematian, kedua-duanya tertinggi pernah direkodkan.

Di seluruh dunia, jumlah kes kini menghampiri dua juta dan angka korban melebihi 125,000 orang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here