TUDM, TLDM berjaya patahkan cubaan PATI masuki perairan negara

0
203
Kapal yang membawa PATI berjaya dipintas oleh pesawat milik TUDM. kredit gambar Facebook TUDM

CYBERJAYA -Tindakan pantas pesawat C-130H milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berpangkalan di Pangkalan Udara Subang telah berjaya mematahkan cubaan pendatang asing tanpa izin (PATI) memasuki perairan negara.

Menurut TUDM dalam satu kenyataan, pesawat itu yang diterbangkan oleh Mejar Faizul Hussein ketika itu sedang melaksanakan tinjauan maritim udara di perairan Langkawi dan berjaya mengesan kehadiran sebuah bot PATI Rohingya cuba memasuki perairan negara pada pukul 10.26 pagi, hari ini.

“Bot tersebut yang sarat dengan kira-kira 200 orang PATI Rohingya terdiri daripada lelaki, wanita dan kanak-kanak dikesan di kedudukan 70 batu nautika (129.6 kilometer) dari barat Pulau Langkawi.

“TUDM seterusnya menghubungi kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) iaitu KD Lekiu dan KD Lekir yang terus digerakkan ke lokasi pengesanan,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua kapal tersebut kemudiannya telah berjaya memintas bot berkenaan dengan bantuan helikopter Super Lynx TLDM dan mengekang pergerakan masuk bot tersebut.

“Dengan keadaan penempatan serta kehidupan yang daif di tempat asal mereka, adalah sangat dibimbangi kumpulan PATI yang cuba memasuki Malaysia sama ada melalui jalan darat atau jalan laut akan membawa kluster baharu Covid-19 ke negara ini.

“Namun, atas dasar kemanusiaan, anak kapal KD Lekiu telah mengagihkan bekalan makanan kepada kumpulan PATI tersebut sebelum mengiringi bot tersebut keluar dari memasuki perairan negara,” katanya.

Sementara itu, menurut kenyataan itu, ucapan
tahniah dan syabas juga diucapkan kepada juruterbang dan anak kapal C130H yang berjaya melaksanakan tugas tinjauan maritim udara dan bertindak pantas mengekang pencerobohan oleh kumpulan PATI.

“Ini adalah satu usaha yang bersepadu di antara TUDM dan TLDM khususnya dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan maritim negara.

“Operasi pengawasan maritim udara ini akan terus dipergiatkan tambahan di dalam krisis dunia yang dilanda pandemik Covid-19 yang menjadikan Malaysia sebagai tumpuan kumpulan PATI,” katanya. -MT

Pemandangan dari udara kapal PATI yang cuba masuki perairan negara. Kredit gambar TUDM

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here