Tujuh rakyat Malaysia antara 942 kes baharu di Singapura

0
193

SINGAPURA – Tujuh rakyat Malaysia menjadi antara 942 kes baharu jangkitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kes di republik ini sebanyak 5,992.

Berikutan itu, kini terdapat sebanyak 92 rakyat Malaysia dijangkiti Covid-19 di negara jiran tersebut.

Menurut data harian terbaharu dikeluarkan Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura, dua daripada mereka ada kaitan dengan dua pekerja asing yang dijangkiti di asrama iaitu Asrama Tuas View dan Sungei Tengah Lodge.

Tiga daripada mereka masih diklasifikasikan sebagai kes tiada kaitan tempatan manakala satu lagi ada kaitan dengan kluster TTJ Design & Engineering Pte. Ltd., dan seorang lagi rakyat Malaysia mempunyai kaitan dengan kes 4,547, warganegara Malaysia berumur 29 tahun.

MOH berkata kes 4,754, rakyat Malaysia berumur 40 tahun, meninggal dunia hari ini tetapi bukan akibat komplikasi jangkitan Covid-19, lapor Bernama.

Punca kematian akibat bekalan darah ke jantung tersekat berserta serangan kardiogenik, kata kementerian itu dan menurutnya lelaki itu disahkan dijangkiti Covid-19 pada 17 April.

Daripada 942 kes baharu, MOH berkata, 22 kes dalam komuniti: 27 pemegang Permit Kerja yang tinggal di luar asrama manakala 893 pemegang Permit Kerja yang duduk di asrama.

Selain daripada TTJ Design & Engineering Pte. Ltd., Singapura melaporkan dua lagi kluster baharu iaitu di Homestay Lodge di Kaki Bukit Avenue 3; dan Asrama CDPL Tuas di Tuas South Street 15.

Setakat ini, 740 kes Covid-19 telah dibenarkan discaj daripada hospital atau fasiliti isolasi komuniti.

Daripada 2,563 kes disahkan yang masih dirawat di hospital, kebanyakannya stabil dan bertambah baik, manakala 23 berada dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi.

MOH berkata 2,678 kes berada dalam keadaan baik dari segi klinikal tetapi masih positif Covid-19 telah diasingkan dan dirawat di fasiliti komuniti.

Singapura setakat ini melaporkan 11 kematian akibat Covid-19.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here