TV AlHijrah catat rekod luar biasa

0
1030

CYBERJAYA – Saluran televisyen Islamik negara, TV AlHijrah mencatat rekod luar biasa sebanyak 75 peratus capaian penonton berbanding dua minggu sebelum kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam membendung wabak Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif AlHijrah Media Corporation, Namanzee Harris berkata, pendekatan yang dibawa stesen televisyen itu sepanjang PKP dilaksanakan ternyata membuahkan hasil.

Menurut beliau, sebagai sebuah stesen televisyen yang mempromosi Islam sebagai gaya hidup, TV AlHijrah mengambil pendekatan bagi memenuhi kehendak penonton yang mempunyai pelbagai persoalan, kerisauan dan ketidaktenteraman di hati kesan daripada penularan wabak itu.

Beliau berkata, pihaknya menyediakan pengisian kandungan yang mampu mendidik dan memberi ketenangan jiwa bagi memastikan penonton menggunakan masa berharga bersama keluarga di rumah.

“Alhamdulillah, pendekatan yang diambil ini nyata membuahkan maklum balas yang sangat baik daripada rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Namanzee menambah, antara pencapaian itu ialah program agama terbaharu iaitu Malaysia #QuranTime menjadi pilihan utama dengan capaian hampir satu juta penonton.

Beliau berkata, peningkatan rating 12 kali ganda pada slot pukul 12 tengah hari hingga 1 petang, syer penonton segmen dewasa berusia 50 tahun keatas meningkat 57 peratus dan syer penonton di kawasan pusat pasaran meningkat 50 peratus.

“TV AlHijrah menjadi pilihan utama penonton untuk kandungan Islam dengan syer saluran dua kali ganda di hadapan saluran-saluran Islamik lain.

“Dengan dapatan yang cukup memberangsangkan ini, TV AlHijrah akan berusaha lebih gigih menyajikan kandungan lebih berkualiti dan relevan sesuai situasi rakyat Malaysia sedang hadapi saat ini,” ujarnya.

Beliau juga turut mengucapkan terima kasih kepada penonton atas sokongan yang diberikan kepada stesen televisyen itu selama ini. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here