TV AlHijrah lancar iklan percuma bantu IKS terjejas Covid-19

0
321

CYBERJAYA – AlHijrah Media Corporation hari ini melancarkan Pakej Stimulus Industri Kecil dan Sederhana – TV AlHijrah (PSIKS-TV-AlHijrah) bernilai RM7.65 juta bagi membantu usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) yang terjejas berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Namanzee Harris berkata, melalui pakej itu, kira-kira 300 IKS yang terjejas akan diberi ruang pengiklanan dan hebahan percuma melalui platform stesen televisyen tersebut dengan slot khas PSIKS-TVAH bermula esok selama tiga bulan.

Menurut beliau, selain di slot televisyen tersebut, pengiklanan dan hebahan percuma itu turut dibuat melalui medium digital.

Jelas beliau, pakej itu digerakkan dibawah inisiatif #MusaadadCovid-19 yang digerakkan agensi-agensi dibawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri bagi menunjukkan solidariti kepada kelompok terjejas terutama IKS.

“Ia juga sebagai menyahut seruan Perdana Menteri supaya syarikat milik kerajaan (GLC) untuk membantu kelompok yang terjejas akibat pelaksanaan PKP bagi membantu mengekang penularan Covid-19.

“Kita tahu impak PKP (Covid-19) kepada IKS. Jika kita tidak bantu, mereka takkan mampu menjana ekonomi kepada semua pihak, termasuk penyiaran. Ia akan ada kesan domino,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan inisiatif pakej itu dalam siaran program Analisis khas dihoskan Syafinaz Yunus di TV AlHijrah di sini pagi tadi.

Namanzee menambah, jika golongan itu tidak dibantu akan berlaku permasalahan lebih besar kepada peluang pekerjaan dan ekonomi secara umumnya.

“Inilah masa untuk kita beri kembali kepada IKS supaya mereka boleh bangun semula,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, melalui pakej tersebut, ruang pengiklanan percuma akan diberikan kepada IKS menerusi program bual bicara pagi, Assalamualaikum setiap hari selama tiga bulan.

“Anggaran nilai siaran kempen yang berlangsung sehingga awal Jun ini berjumlah RM7.65 juta. Ini bermaksud setiap usahawan IKS diberikan slot percuma bernilai RM30,000 setiap seorang,” katanya..

Jelas beliau, setiap hari tiga usahawan IKS akan dipaparkan di dua platform promosi TV AlHijrah iaitu Assalam Biz menerusi Skype dan platform dalam talian menerusi Facebook TV AlHijrah.

“Industri terkesan boleh dapatkan waktu siaran secara percuma. Kita akan beri sokongan hebahan di televisyen dan digital untuk bantu,” ujarnya yang mengalu-alukan kerjasama rakan strategik dalam menjayakan pakej itu.

Usahawan berminat untuk mendapatkan pengiklanan percuma melalui PSIKS-TVAH boleh mendaftar di http://tiny.cc/PakejStimulus atau melayari sesawang http://www.tvalhijrah.com. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here