Ubah polisi guna tanah demi jaminan bekalan makanan negara

0
190

Oleh SITI AZIELAH WAHI

CYBERJAYA – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menggesa kerajaan mengubah polisi guna tanah negara demi memastikan bekalan dan kedaulatan makanan di negara ini terjamin.

Presidennya, Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, jaminan makanan negara perlu diberi perhatian serius bukan sahaja di peringkat polisi, malah di lapangan pertanian rakyat.

“Mengambil kira wabak global Covid-19, jelas negara yang paling stabil ialah negara yang kukuh jaminan makanannya.

“Kini kestabilan bekalan makanan akan menjadi gelombang krisis selanjutnya selepas krisis kesihatan dan ekonomi bertambah buruk,” tegasnya dalam hantaran akaun Facebook milik beliau.

Mohd. Azmi berkata, kadar import makanan dari negara luar bernilai lebih RM53 bilion setahun amat membimbangkan.

“Fakta ini sahaja sudah cukup memberi isyarat kepada negara bahawa jaminan makanan masih rendah. Malaysia kini mengimport pelbagai jenis makanan, termasuk sayur-sayuran, produk tenusu, buah-buahan, ikan dan daging.

“Sedangkan negara memiliki lapan juta hektar tanah pertanian, hanya 600,000 hektar digunakan untuk pertanian makanan, manakala pertanian menggunakan 70 peratus daripada sumber air negara dan daripada jumlah itu 90 peratus digunakan untuk sawah, ” katanya.

Beliau berkata, potensi pertanian makanan sangat besar di negara ini sekiranya kerajaan mengubah polisi guna tanah yang mengutamakan pengeluaran makanan.

“Sumber makanan tidak terjamin jika senario di luar jangka seperti bencana alam, konflik dan wabak boleh berlaku pada bila-bila masa.

“Malaysia harus kembali kepada penghasilan makanan untuk keperluan sendiri sebelum eksport. Jelas dengan statistik yang terkumpul, defisit makanan adalah realiti di negara ini yang akan bertambah sulit,” katanya.

Tambah beliau, ancaman yang boleh menggugat jaminan makanan di seluruh dunia kini ialah guna tanah untuk pembangunan tidak terkawal, perubahan cuaca, berkurangannya tenaga kerja pertanian, penghakisan tanah pertanian, pupusnya agen pendebungaan dan ubah suai genetik tumbuhan.

“Dengan keadaan yang tidak menentu sekarang, sudah tiba masanya kita beralih tumpuan kepada pertanian makanan sebelum terlambat.

“Apabila rakyat punyai akses kepada makanan yang mencukupi dan bernutrisi maka jaminan makanan tercapai,” katanya.

Pada masa sama beliau mempersoalkan bagaimana 8.2 peratus daripada KDNK datang daripada pertanian pada 2017, sedangkan Malaysia jauh ke belakang, iaitu di tangga 40 daripada 113 negara dalam jaminan makanan, berbanding Singapura yang berada di tangga pertama.

“Sejak Malaysia berganjak kepada menjadi negara pembuatan dan kemudian kepada negara perdagangan, ternyata pertanian diletak pada prioriti di bawah bertahun-tahun lamanya.

“Bermula 1980-an jaminan makanan tidak diberi perhatian. Kesannya nilai import makanan meningkat sedikit demi sedikit sehingga kini menghampiri RM60 bilion setahun,” katanya.

Tambah beliau, Malaysia belum pernah mengalami krisis makanan namun dengan trend yang ada sekarang ia sedang mengarah kepada krisis itu jika tidak bertindak dari sekarang.

“Dengan nilai mata wang ringgit yang lemah berbanding dolar, import makanan dan makanan ternakan menambah beban ekonomi negara.

“Sangat mengejutkan Malaysia mengimport puluhan hingga ratusan juta ringgit untuk bawang, bawang putih, cili dan halia,” katanya.

Mohd. Azmi berkata, kajian menunjukkan trend import makanan akan terus meningkat namun malangnya hambatan untuk pengeluaran makanan di negara ini sering disebabkan kos pengeluaran tinggi dan risiko pemasaran.

Pada masa sama, Mohd. Azmi berkata, Lembaga Permasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) perlu menilai semula fungsinya untuk mengatasi masalah orang tengah dalam pemasaran produk pertanian.

“Pasaran yang terjamin akan meyakinkan petani untuk berusaha terus dalam sektor pertanian makanan. Disamping itu sejumlah jenis sayuran harus disasarkan supaya petani tidak menghadapi masalah pemasaran,” katanya.

Tegasnya, pertanian makanan tidak harus terhalang untuk petani mendapat pendapatan yang terjamin.

“FAMA bertanggungjawab memastikan aliran daripada pengeluaran kepada pengguna perlu mengambil kira kepentingan petani.

“Membiarkan pemasaran kepada manipulasi orang tengah akan membunuh petani untuk mengusahakan pertanian makanan,” katanya.

Selain itu katanya, pelbagai lagi agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani perlu diperkasakan ke arah mencapai jaminan makanan negara yang benar-benar selesa.-MBNews.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here