Ubat gigi jenama Mismis yang halal dan berkualiti tinggi

0
334

Oleh SITI AZIELAH WAHI

CYBERJAYA – Ubat gigi jenama Mismis mungkin tidak sepopular jenama lain di pasaran tempatan tapi tahukah anda ubat gigi keluaran usahawan Muslim ini berkualiti tinggi malah diperbuat daripada bahan semula jadi yang semestinya Halal.

Pengarah Urusan NFA Technologies Sdn. Bhd., Noormawarni Nordin berkata, keunikan ubat gigi jenama ini adalah diperbuat berasaskan polifenol koko, cengkih dan minyak zaitun yang mampu memberi kesegaran mulut dan sebagai agen antibakteria semula jadi.

“Produk ubat gigi berasaskan polifenol koko ini terhasil dengan kerjasama Lembaga Koko Malaysia yang melaksanakan penyelidikan, pemprosesan dan penyelenggaraan bagi menggunakan polifenol koko sebagai bahan mentah utama berkualiti tinggi,” katanya.

Menurutnya, produk terbaharu Mismis adalah Ubat Gigi Premium Pudina Koko menggunakan bahan aktif polifenol- tannin yang berkesan membunuh bakteria utama di dalam mulut iaitu Streptococcus Mutan dan S.Sanguis, penyebab nafas berbau dan penyebaran karies gigi.

“Penambahan bahan iaitu lemak koko (cocoa butter) yang diperkaya oleh Vitamin E pula dapat membantu meningkatkan aktiviti agen antibakteria daripada masalah kaviti mulut.

“Ubat gigi ini tidak mengandungi Paraben, SLS dan flourida. Ia juga alternatif bagi pengguna yang mencari ubat gigi berasaskan bahan semula jadi dengan aroma koko yang harum dan segar, ” katanya.

Selain itu katanya, terbaharu Mismis memperkenalkan ubat gigi ‘Mismis just for kids’ dalam dua perisa iaitu Chocolata dan Bubble Gummy.

“Ia amat sesuai kepada keluarga yang inginkan produk bebas daripada flourida dan selamat jika tertelan. Buih ubat gigi juga menggunakan daripada sumber kelapa,” katanya.

Menurutnya, jenama Mismis telah empat tahun berada di pasaran dan dijual di beberapa pasar raya termasuk Tesco, Ikhwan serta klinik-klinik gigi dan farmasi seluruh negara.

Selain ubat gigi, Jenama Mismis turut mengeluarkan pelbagai jenis berus gigi yang juga boleh didapati di Raudhah Grocer, Malakat Mall dan mendapat sambutan amat menggalakkan daripada pengguna.

“Alhamdulillah kami mendapat tempahan ulangan daripada pihak Raudhah Grocer dan ini satu perkembangan baik meskipun Malaysia kini sedang melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Bagaimanapun katanya, susulan PKP yang memasuki fasa ketiga itu menyebabkan pengeluaran produk yang terletak di Rembau itu terpaksa dihentikan seketika.

“Kami sedang mengemukakan permohonan supaya dibenarkan beroperasi diharapkan wabak penyakit ini segera terhapus supaya kita semua dapat meneruskan kehidupan dan urusan harian, ” katanya.-MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here