Ujian Covid-19 negara mencukupi, patuhi garis panduan WHO

0
55
Purata ujian Covid-19 yang dilakukan di negara ini kini berada pada tahap 9 peratus, tidak jauh daripada ketetapan 10 peratus oleh WHO.

CYBERJAYA – Sebanyak 45,378 ujian Covid-19 yang telah dilakukan di seluruh negara setakat ini memenuhi keperluan piawaian yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ujian yang dilakukan setakat hari ini mencukupi kerana ia berada dalam garis panduan WHO iaitu 10 peratus.

“Sehingga kini kerajaan telah melakukan 45,378 ujian dengan bilangan kes positif sebanyak 3,333 kes yang menjadikan peratusan kita sebanyak 7.3 peratus.

“Kita juga ada 7,000 kes yang belum diketahui keputusannya dan jika kita tidak mengambil kira jumlah itu, kita berada pada tahap 9 peratus dan itu masih dalam piawaian WHO,” katanya dalam sidang akhbar kementerian itu hari ini.

Noor Hisham berkata, perkara itu perlu diperjelaskan kerana soalan utama sekarang adakah kerajaan sudah melaksanakan ujian yang cukup untuk populasi negara ini.

Katanya, garis panduan WHO menetapkan bahawa sekiranya masih terdapat banyak kes positif dalam ujian dilakukan itu menunjukkan masih banyak kes yang tidak dikesan dalam komuniti.

“Sekiranya saya melakukan 100 ujian dan 80 didapati positif, itu bermakna masih banyak kes positif yang tidak dikesan.

“Kerajaan tidak mungkin melakukan ujian kepada 30 juta penduduk negara ini,” katanya.

Dalam pada itu katanya, kerajaan sedang menguji beberapa kit ujian Covid-19 untuk mendapatkan produk yang berketepatan tinggi.

“Kita perlu membuat lebih banyak ujian pada ‘test kit’, jika ketepatan melebihi 80 peratus, itu yang terbaik untuk kita,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here