
KOLUM: FIKIR BAIK-BAIK
Oleh NURUL FIRDAUS KHAIRI
SEMALAM satu Malaysia meraikan sambutan hari lahir Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah dengan memberikan hadiah paling bernilai yang dipanggil hadiah ‘stay at home’.
Itu merupakan permintaannya yang mahukan hadiah paling istimewa dari rakyat Malaysia untuk kekal duduk di rumah dan mengamalkan kebersihan yang tinggi.
Ternyata amat beruntung jugalah insan-insan lain yang turut merasai menyambut hari lahir pada penghujung Mac dan April tahun ini kerana diibaratkan seperti mendapat cincin bertahtakan berlian.
Mana tidaknya hadiah itu tidak dapat digantikan dengan nyawa sekiranya tergolong dalam kumpulan yang dijangkiti Covid-19.
Ketika negara sedang dilanda krisis pandemik itu di media sosial ramai berkongsi kisah pelbagai sambutan ulang tahun perkahwinan dan sambutan hari lahir terpaksa diadakan ala kadar di rumah buat sementara waktu.
Tiada lagi sambutan di hotel mewah, tiada lagi memotong kek bersama insan-insan tersayang di restoran-restoran ternama malah tiada lagi aktiviti ‘shopping’ sakan di pusat beli belah terkemuka ketika ini.
Menariknya, beberapa selebriti juga berkongsi suasana sambutan-sambutan itu di rumah untuk menghiburkan peminatnya.
Malah penulis percaya jika diberi pilihan mereka yang menyambut hari lahir pada hari-hari tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan bangganya akan berkata, maaf kami tidak akan sambut di luar pada saat-saat ini.
Bukannya bangga tetapi itulah hakikat yang berlaku nyawa lagi penting dari segalanya, cukuplah sambut di rumah masing-masing bagi mengingati tarikh dan menghargai pasangan atau ahli keluarga masing-masing.
Penulis juga antara insan yang menyambut hari kelahiran pada musim Covid-19 ini dua hari lalu, namun tetap bersyukur dan tergolong mendapat hadiah paling istimewa seperti Dr. Noor Hisham dapat, iaitu hadiah “stay at home”.
Apa yang penting hari ini dan seterusnya, pakat-pakatlah sesama kita terus berikan hadiah buattokoh perubatan itu bersama petugas barisan hadapannya hadiah banyak -banyak sehingga terhentinya penularan Covid-19 ini.

Penulis tertarik dengan beberapa rangkap puisi yang ditulis sendiri oleh seorang Pakar Psikiatri, Hospital Kuala Lumpur, Dr Umi Adzlin di Facebooknya.
“Hadiah harijadi paling berharga
Seringkali datang tanpa harta-benda
Seperti doa, ingatan, dan kata-kata
Hadiah harijadi paling mengejutkan
Seringkali datang tanpa diduga
Seperti usaha dan pencapaian di luar jangka
Hadiah harijadi terhebat
Seringkali sentiasa diingat
Seperti anugerah dari airmata dan keringat
Hadiah harijadi paling istimewa
Seringkali dapat dikongsi semua
Seperti erti kerjasama dan rasa bangga
Hadiah harijadi terbaik
Seringkali tidak dapat dibeli dengan wang ringgit
Seperti Malaysia lega dari pandemik!.” tulisnya.
Moh fikir baik-baik… ‘stay at home’.
Beri ‘hadiah’ itu tanda kita sayang diri, sayang keluarga dan sayang negara kita, MALAYSIA! -MBNews