UPM wujud pusat panggilan hotline sepanjang PKP

0
94

Oleh NURUL FIRDAUS KHAIRI

CYBERJAYA – Universiti Putra Malaysia (UPM) mewujudkan Pusat Panggilan Kecemasan Umum dan Khas (Hotline) bagi komunikasi krisis dan pertolongan kecemasan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris berkata, kewujudan pusat panggilan itu juga bagi mengelak penularan berita palsu sekali gus memastikan semua warga universiti menerima maklumat yang sahih.

Pihak universiti sentiasa berkomunikasi dengan menggunakan platform hebahan dalaman melalui saluran-saluran rasmi seperti e-mel rasmi info@upm.edu.my (staf dan pelajar), media sosial rasmi UPM, dan laman web rasmi UPM yang dikemaskini mengikut keperluan.

Menurutnya, satu saluran baharu juga diwujudkan sewaktu tempoh PKP, iaitu aplikasi Telegram rasmi untuk kakitangan UPM.

“Di samping itu, pihak berkepentingan yang lain juga turut disalurkan segala maklumat UPM yang berkaitan dengan menggunakan saluran media sosial rasmi UPM dan aplikasi Telegram rasmi.,” katanya dalam satu kenyataan.

Aini berkata, UPM juga telah menjayakan advokasi awam dengan menyampaikan maklumat dan rujukan perkongsian kepakaran.

Jelasnya, advokasi awam ini telah membincangkan impak pandemik dalam pelbagai aspek seperti perubatan, kesihatan awam, perubatan veterinar, pertanian, ekonomi, teknologi maklumat, psikologi, Orang Asli dan keselamatan insan.

“Seramai 2,264 pelajar berada di kampus Serdang dan Bintulu manakala kira-kira 1, 200 pelajar lagi berada di sekitar dan luar kampus UPM.

“Pengurusan hal ehwal kebajikan dan penginapan pelajar telah diberi perhatian serius dan tindakan telah diambil bagi memastikan kesan bebanan PKP dapat diringankan dalam kalangan pelajar, seterusnya membendung risiko jangkitan dan penularan wabak Covid-19,” katanya.

Mengulas lanjut, memahami suasana terkurung dan ‘demam terperuk’ serta kemungkinan tercetus perasaan bosan, pelajar turut dibantu dari aspek sokongan psikologi oleh kaunselor UPM sepanjang PKP menerusi inisiatif Bahagian Kaunseling UPM.

“Antara inisiatif itu adalah tele-kaunseling yang dilaksanakan 12 kaunselor bertugas. selain itu disediakan slot bimbingan kaunselor menerusi perkongsian dan mendengar luahan pelajar; serta perkongsian maklumat menerusi poster dan video berkenaan kesedaran menjaga kesihatan mental serta tip pengurusan emosi sepanjang PKP,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here