Ustaz Ebit henti agih bantuan selepas dipanggil Bukit Aman

0
402
Ustaz Ebit Lew

CYBERJAYA – Pendakwah terkenal, ustaz Ebit Lew terpaksa membayar dengan ‘harga mahal’ apabila terdapat pihak yang melaporkan kepada polis kerja-kerja kebajikan yang dilakukannya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Dalam satu hantaran menerusi laman Facebooknya, ustaz Ebit berkata, dari tengah semalam beliau dihubungi untuk ke Cawangan Khas Bukit Aman bagi memberi ketarangan berikutan terdapat aduan berhubung kes yang tular baru-baru ini.

“Menangis dari tadi, cuma nak menangis pada Allah. Entahlah, tersandar rasa penat sangat. Walau saya ada kebenaran untuk memberi bantuan dari tengah malam semalam saya dihubungi untuk ke Cawangan Khas Bukit Aman.

“Terus ke sana hari ini untuk mendapatkan dan memberi penjelasan terutama kes tular beberapa hari lalu kerana ada aduan,” katanya.

Sejak minggu lalu tular gambar dan video beliau bersama pasukannya membantu sebuah keluarga daif di Alor Setar, Kedah sehingga menimbulkan perasaan tidak senang banyak pihak.

Dalam pada itu, ustaz Ebit berkata, akur pada nasihat yang diberikan pihak berkuasa padanya, beliau akan menghentikan khidmat bantuan kepada mereka yang dalam kesusahan buat masa ini.

Bantuan yang diberikan oleh ustaz Ebit kepada sebuah keluarga daif di Alor Setar, Kedah minggu lalu mencetuskan perdebatan hanggat dalam kalangan warga maya

“Saya minta maaf pada semua. Atas nasihat setakat ini sahajalah saya berkhidmat pada semua secara langsung.

“Saya cuma akan transfer (pindahkan) duit pada orang susah. Saya teruskan dari rumah sahaja. Jangan ‘tag’ saya lagi kes orang susah. Nanti habis PKP baru saya cuba bantu,” luahnya.

Pada masa sama, beliau turut meminta maaf pada semua pihak yang salah anggap terhadap kerja amal dilakukannya dan menegaskan dana yang digunakan untuk membantu datang daripada duitnya sendiri.

“Lebih seratus orang sudah saya bayar penginapan dan tempat tinggal. Cuma beberapa kes tu saya kongsikan dengan kawan di media Facebook saya. Saya pun tak niat nak tularkan.

“Ramai anak-anak susah terbiar di tahfiz saya bayarkan yuran mereka. Perniagaan saya sebenarnya sangat baik. Syukur pada Allah. Rezeki melimpah ruah, saya belanja duit saya sendiri dari dulu lagi untuk bantu orang di mana-mana.

“Masa PKP ini sudah berjuta habis. Duit simpanan saya sendiri dah sejuta ringgit saya belanjakan. Sekarang ramai juga mula bersama saya dalam kerja membantu dan menyelamatkan mereka yang dalam kesusahan termasuk petugas barisan hadapan,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here