Ustaz Ebit Lew sebak

0
214
Foto bidikan jurugambar sebuah portal berita yang secara tidak sengaja bertemu dengan sebuah keluarga bersama anak kecil tinggal di atas jejambat ketika sedang bertugas sewaktu PKP

CYBERJAYA – Meskipun ketika waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang dikuatkuasakan sekarang memerlukan orang ramai duduk di rumah, masih terdapat di luar sana golongan yang tidak bernasib baik meneruskan kehidupan tanpa memiliki tempat berteduh.

Dalam hantaran terbaharu menerusi Facebook milik pendakwah terkenal, ustaz Ebit Lew melahirkan perasaan sebaknya apabila dipertemukan dengan satu keluarga yang memiliki seorang anak kecil, menumpang berteduh di atas sebuah jejambat di sebuah kawasan di ibu negara.

Ustaz Ebit berkata, situasi tersebut membuatkan beliau terpanggil untuk membantu dengan sekurang-kurangnya mendapatkan sebuah rumah untuk keluarga tersebut berteduh.

“Sebak rasa seharian carikan rumah untuk adik ini, mak dan ayahnya. Dapat rumah satu bilik, satu ruang tamu, ada dapur dan tandas semuanya.

“Saya bayarkan RM500 sebulan daripada tuan rumah. Insya-Allah saya akan terus bayar bulan-bulan selagi mampu insya-Allah. Saya bagi free (percuma) saja pada mereka. Bila tengok adik ini berlari-lari dan bermain mainan patung hadiah daripada anak saya, sebak rasa hari ini,” katanya dalam Facebook miliknya awal pagi hari ini.

Kelmarin, tular gambar sebuah keluarga tinggal di atas sebuah jejambat ketika PKP sedang dikuatkuasakan.

Ustaz Ebit menghadiahkan satu permainan pemberian anaknya kepada kanak-kanak kecil terbabit

Gambar tersebut yang diambil oleh seorang jurugambar sebuah portal berita kemudiannya sampai kepada ustaz Ebit yang terus bergegas turun membantu dengan diiringi beberapa anggota polis.

Bercerita lebih lanjut, ustaz Ebit meluahkan rasanya terkilan kerana pada mulanya keluarga tersebut mendapat kebenaran daripada seorang tuan rumah untuk menginap secara percuma di sebuah kondominium miliknya.

Namun, katanya, atas desakan ahli jawatankuasa (AJK) kondominium terbabit, keluarga tersebut dihalang menumpang berteduh di kediaman itu.

“Tadi ada seorang abang bagi rumahnya free (tinggal percuma) . Dia berada di luar negara tapi kawasan kondominium itu kena halau pula.

“Sedih juga tapi tak apalah. Katanya sebab undang-undang. Ya Allah, selalu begitu pandangan orang pada orang miskin dan gelandangan. Tuan rumah bagi tapi AJK tak bagi. Susah juga telefon sana sini, banyak protokolnya,” kongsinya.

Sementara itu, ustaz Ebit turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang membantu dan berharap keluarga terbabit dipermudahkan segala urusan selepas ini.

Ustaz Ebit mengucapkan kepada semua pihak termasuk polis yang banyak membantu memudahkan urusan keluarga berkenaan

“Syukur kawan-kawan bantu. Terima kasih abang Azman dan semua kawan-kawan. Terima kasih tuan rumah yang baik hati bantu masuk malam-malam ini. Saya doakan semua yang bantu Allah rahmati.

“Saya sudah hadiahkan tikar, tilam toto, bantal, tilam dan barang dapur. Insya-Allah esok saya akan hantar lagi barang-barang lain.

“Sabarlah abang kakak. Kita mungkin buat silap dan kadang orang pandang rendah, tapi kita hidup untuk Allah sayang. Saya doakan Allah bantu abang dengan kakak,” ujarnya. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here