Ustaz Ebit ubah kebencian menjadi sayang

0
337
Kisah ustaz Ebit membantu sebuah keluarga semalam di Kedah mendapat perhatian daripada warga maya yang prihatin nasib keluarga berkenaan.

SEJAK semalam kisah pendakwah terkenal, ustaz Ebit Lew membantu sebuah keluarga miskin di Alor Setar, Kedah mendapat perhatian daripada seluruh rakyat Malaysia.

Ramai yang memuji usaha murni oleh ustaz Ebit dan pasukannya namun begitu, tidak kurang juga yang ‘mengeji’ bantuan yang diberikan.

Bagi yang sudah biasa mengikuti laman sosial ustaz Ebit pasti ramai yang menyedari, kerja amal membantu orang memerlukan dan susah bukan pertama kali dilakukan beliau.

Sebelum ustaz Ebit membantu Pak Ishak, isteri bersama anak-anak dan cucu-cucunya, beliau pernah dikecam teruk oleh golongan yang tidak senang melihat usaha tersebut atas alasan berbuat kebaikan tidak perlu ditonjolkan kepada orang lain.

Bagi golongan ini, setiap kerja amal yang dilakukan perlu dibuat secara diam-diam supaya tidak timbul riak. Memang benar ada kebenaran di atas hujah berkenaan.

Namun begitu, ustaz Ebit ketika datang ke Malakat Mall pada bulan lalu mempunyai alasan tersendiri kenapa beliau merakam dan membuat hantaran di Facebook, Instagram dan laman sosial lain setiap kerja amal yang dilakukannya.

Keadaan rumah yang didiami keluarg besar ini

“Saya letak dalam YouTube ramai Cina dan India berikan komen. Malah, di media sosial saya ada ramai yang bukan Islam juga ikuti, ada dua tiga komen yang mereka tinggalkan dengan berkata, kalau saya jumpa orang berjubah hijau saya benci tapi sekarang saya jumpa awak pasti saya mengucap.

“Malah, ramai juga yang mesej nak masuk Islam selepas itu,” katanya.

Tambah ustaz Ebit lagi, ramai umat Islam yang mudah melenting dan marah apabila pertubuhan bukan Islam atau pihak gereja memberikan bantuan kepada orang Islam memerlukan walhal mereka juga cuba melakukan kebaikan kepada masyarakat.

Sepatutnya, ustaz Ebit berkata, sebagai umat Islam yang mengasihi suadaranya, kita seharusnya membuat lebih kebaikan.

Bagi penulis, adalah lebih baik semua pihak berlapang dada dan membantu orang yang memerlukan sehabis baik, tidak sepatutnya kerja kebajikan seperti ini dihalakan kepada badan agama dan masjid sahaja. Semua pihak terutamanya jiran dan komuniti setempat perlu sentiasa mengambil berat hal ehwal jiran masing-masing.

Apa pun, paling penting penerima bantuan juga perlu segera berubah dan tidak hanya mengharapkan bantuan diberikan secara berterusan.

Dalam satu hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya tangan di atas (yang memberi) lebih baik daripada tangan yang di bawah (yang menerima).” (Riwayat al-Bukhari).

Malah, dalam Islam sendiri tidak menyuruh kita berdiam diri dan menunggu Allah SWT memberi sesuatu tanpa berusaha. Oleh itu, kita semua perlu berusaha dan bekerja keras bagi meningkatkan taraf kehidupan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum, sebelum kaum itu sendiri mengubah apa yang ada pada diri mereka” (surah ar-Ra’d, ayat 11).

Pokok pangkal sekarang semuanya terletak di tangan kita sendiri, jika kita tidak mahu mengubah nasib sendiri, tiada siapa lagi yang dapat membantu walaupun joran, umpan dan kolam penuh ikan sudah disediakan. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here