‘Ustaz, kalau bagi beras, telur dan gula sudah cukup’

0
234

CYBERJAYA – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memasuki fasa ketiga pada 15 April ini memberi kesan kepada semua pihak kerana segala aktiviti termasuk perniagaan dihentikan bagi membendung wabak Covid-19 daripada terus berleluasa.

Namun ada hikmah disebalik kejadian itu apabila ramai pihak sama ada individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil membantu golongan yang terputus bekalan makanan kerana kehidupan mereka bergantung kepada gaji harian.

Bagi golongan etnik Rohingya, mereka antara terkesan kerana melakukan pelbagai kerja demi mencari sesuap nasi tetapi pelaksanaan PKP ini memberi kesan mendalam dalam kehidupan mereka.

Keadaan itu diceritakan seorang perunding kewangan, Hafiz Din yang berkongsi kisah itu dalam akaun Facebook miliknya.

Berikut adalah catatan yang dimuat naik dalam akaun media sosialnya itu.

Allahu, sayu hati kami bila melihat wajah-wajah saudara kita etnik Rohingiya ini. Mereka hilang punca pendapatan sejak PKP. 

Kebanyakan mereka kerja buruh kasar dengan gaji hari. Nampak riak gembira di wajah-wajah mereka bila lihat pasukan Assalihin sampai.

Lepas waktu zohor tadi mudir kami, Ustaz Salleh dapat panggilan daripada Ustaz Nur muhammd, ketua etnik Rohingiya di Taman Jujur.

“Ustaz kena tolong kami. 50 keluarga sudah tak ada makanan. Ustaz bagi beras sama telur sama gula pun cukup. Mintak tolong ya ustaz. Kalau boleh ini hari ustaz kena tolong. Saya sudah dua hari masak untuk ramai keluarga.”

Lepas daripada itu kami terus mula kerah tenaga untuk bungkuskan dan siapkan pek bantuan.

Tuan dan puan dalam membantu insan yang memerlukan kita yang berhajat untuk membantu mereka. Jangan merasa mereka berhajat kepada kita. Semoga Allah pelihara niat kita semua.

Kita kena syukur Allah gunakan diri kita sebagai ‘posmen’ dalam rezeki mereka. Jika kita tak nak, Allah boleh pilih orang lain. Allah SWT sikit pun tak berhajat dan memerlukan kita hamba yang lemah ini.

Tapi sebab ada sedikit kebaikan dalam diri kita Allah gunakan diri kita untuk khidmat bantu orang lain. Kami mohon doa dari semua agar Allah terima amalan-amalan kebaikan ini dan Allah permudahkan urusan kami ini

Ya Allah terimalah amalan kami. Jauhkan kami dari sifat riak dan takkabur.. Terimalah Ya Allah amalan kami yg sedikit ini. 

Kami hanya mahukan keredaanMu YA Rabb. Ya Allah jadikan amalan-amalan ini menjadi asbab diangkat wabak Covid-19 ini dari bumi Malaysia yang kami cintai. Aminn

Bagi mereka yang memerlukan bantuan sekitar kawasan Seremban, Negeri Sembilan boleh menghubungi pasukan Assalihin di talian  012-604 4577, 60 12-604 4577 atau boleh menyumbang ke akaun Maybank atas nama Maahad Tahfiz As-Salihin. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here