Wabak Covid-19 masih diperingkat pertengahan

0
97

CYBERJAYA – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan selama dua minggu bermula 15 April ini dilakukan berikutan penularan wabak ini masih di peringkat pertengahan dan memerlukan tindakan pencegahan serta kawalan yang berterusan. 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, usaha-usaha mencegah wabak Covid-19 mesti diperhebatkan lagi bagi memutuskan rantaian penularan jangkitan. 

Tambah beliau, ini termasuk memberi tumpuan khusus kepada kumpulan-kumpulan sasar yang dikenal pasti menjadi punca penularan wabak tersebut.

“Namun begitu, kita tidak boleh mengambil mudah situasi yang sedang berlaku,” katanya dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung dalam saluran televisyen utama hari ini.

Muhyiddin memberitahu, pelaksanaan PKP telah dapat membantu para petugas kesihatan mengawal penularan Covid-19 ke satu tahap yang agak stabil. 

Beliau berkata, menurut unjuran yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan (KKM), PKP yang dilaksanakan dalam tempoh hampir sebulan lalu telah sedikit sebanyak mengurangkan kebolehjangkitan dan penularan Covid-19. 

Tambah beliau, dengan usaha-usaha yang telah dibuat, kes-kes positif Covid-19 adalah terkawal pada kadar tujuh peratus, iaitu di bawah penanda aras 10 peratus yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). 

“Kadar kematian akibat wabak ini juga adalah rendah iaitu 1.6 peratus berbanding 5.8 peratus kadar kematian di peringkat dunia. 

“Setakat ini seramai 1,830 pesakit telah keluar dari hospital. Ini bermakna 43 peratus pesakit Covid-19 telah pulih. Hari ini sahaja jumlah pesakit yang pulih ialah seramai 220 orang, melebihi jumlah kes positif baharu iaitu sebanyak 118 kes,” jelas beliau. 

Beliau berkata, jumlah kes positif baharu juga telah menunjukkan penurunan sejak beberapa hari lalu. 

“Jika trend penurunan ini berterusan untuk tempoh dua minggu akan datang, Insya-Allah kita akan dapat mengawal wabak Covid-19 ini daripada menular,” katanya.

Beliau berkata, pelanjutan tempoh itu dibuat untuk memberi ruang kepada petugas-petugas kesihatan memerangi penularan Covid-19, selain mengelakkan penularan
semula wabak ini dalam masyarakat.

“Tindakan ini adalah selaras dengan pandangan WHO yang menyarankan negara-negara supaya tidak menamatkan perintah kawalan pergerakan terlalu awal.

“Sepertimana yang berlaku di beberapa buah negara, penularan wabak ini meningkat
semula apabila perintah kawalan pergerakan ditamatkan.

“Apa yang saya hendak sebutkan di sini ialah kita mesti bersedia untuk berhadapan
dengan situasi ini bagi satu tempoh masa yang agak lebih lama,” ujar beliau.

Muhyiddin berkata, ia mungkin berlarutan untuk tempoh beberapa bulan, sebelum dapat betul-betul dipastikan penularan wabak ini diatasi 100 peratus.- MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here