Wanita dakwa dibantu ‘orang dalam’ terbang ke Kuala Lumpur mohon maaf

0
224

Oleh SITI AZIELAH WAHI

CYBERJAYA – Seorang wanita mengemukakan permohonan maaf kepada Jabatan Imigresen Negeri Sabah susulan satu hantaran yang dibuatnya mendakwa menggunakan pengaruh ‘orang dalam’ untuk mendapatkan penerbangan dari Tawau ke Kuala Lumpur walaupun dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Permohonan maaf itu dibuat oleh wanita itu menggunakan akaun Twitter ‘Acc Baru Lagi’ @Ianzainal sambil mengakui hantaran tersebut satu kesilapan dalam penggunaan ayat sehingga menimbulkan salah faham terhadap pihak Imigresen.

“Saya ingin memohon maaf secara terbuka kepada pihak Jabatan Imigresen Tawau dan Sabah. Apa yang berlaku ialah kesilapan dalam penggunaan ayat semasa menulis hantaran tersebut sehingga menimbulkan salah faham terhadap pihak Imigresen.

Ini sesuatu yang tidak pernah terniat, tiada unsur luar biasa, salah guna kuasa atau rasuah dalam urusan penerbangan saya ke Kuala Lumpur, “katanya.

Beberapa hari lalu hantaran yang dibuat wanita itu tular dalam laman sosial Twitter selepas dia memuat naik gambar tiket kapal terbang pesawat Malaysia Airlines ke Kuala Lumpur melalui Lapangan Terbang Tawau.

Wanita itu turut menulis kononnya dia dibantu orang dalam iaitu bos imigresen sehingga membolehkan dia membuat penerbangan ke Kuala Lumpur.

Sementara itu Jabatan Imigresen Negeri Sabah menafikan kenyataan bergambar yang tular dalam media sosial.

Melalui satu kenyataan Pengarah Imigresen Negeri Sabah, Datuk Dr. Muhamad Sade Mohamad Amin, dalam laman Facebook jabatan itu semalam, hasil siasatan mendapati dakwaan wanita itu tidak berasas.

“Berdasarkan Peruntukan Imigresen berkaitan PKP, warganegara Malaysia tidak dihalang meninggalkan negeri Sabah dan tidak perlu mendapatkan kebenaran khas dari pihak Imigresen tetapi hanya perlu melalui pemeriksaan biasa sahaja, “katanya.

Menurutnya, jabatan itu telah berhubung dengan penumpang berkenaan bagi mendapatkan penjelasan berhubung dakwaannya.

” Wanita itu memaklumkan dia hanya menghubungi Pegawai imigresen untuk bertanya status kebenaran berlepas ke Semenanjung Malaysia dan bukannya menggunakan ‘orang dalam’ seperti didakwa.

“Dia telah memohon maaf atas kejadian tular ini kepada pihak imigresen dan berjanji akan memadam kenyataan tersebut dalam media sosial, ” katanya.

Sehubungan itu beliau mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika membuat kenyataan dalam laman sosial agar tidak menyebarkan berita palsu yang mencemarkan imej jabatan kerajaan yang berkhidmat sebagai barisan hadapan sepanjang tempoh PKP. – MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here