Wanita mengandung jalan kaki rentas Tambak Johor bersama seorang anak undang simpati Menteri Kanan

0
751
New bersama anak lelakinya terpaksa berjalan kaki merentasi Tambak Johor untuk pulang ke tanah air baru-baru ini.

CYBERJAYA – Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri melahirkan rasa terkilannya apabila mendapat berita seorang ibu mengandung, Jessie New bersama seorang anak lelaki terpaksa berjalan kaki merentas Tambak Johor kerana pas lawatan sosial anaknya telah tamat.

Ismail Sabri berkata, secara peribadi beliau berasa sedih kerana ia melibatkan seorang wanita yang kurang berdaya dan anak kecil yang baru berusia dua tahun.

“Syukur, tibanya di Johor, Jessie dan anaknya menginap di sebuah hotel yang bersih dan selesa yang disediakan kerajaan Malaysia untuk proses kuarantin.

“Saya harap, kejadian terpaksa berjalan kaki di Tambak Johor ini tidak berulang lagi kepada mana-mana rakyat Malaysia sekalipun,” katanya dalam laman Facebook miliknya hari ini.

New bersama anaknya di tempatkan di sebuah hotel sebaik tiba di Johor Bahru untuk dikuarantinkan

Kisah New yang terpaksa berjalan kaki bersama anak lelakinya itu tular media sosial dan mendapat simpati ramai pihak.

New yang mengambil selama 40 minit untuk merentasi tambak tersebut bersama anak lelakinya itu tidak ditemani suaminya yang masih perlu bekerja di Singapura.

Dalam pada itu, Ismail Sabri menasihatkan rakyat Malaysia yang berada di negara jiran itu supaya menghubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura jika menghadapi masalah.

“Walau apa jua masalah, mesti hubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura terlebih dahulu untuk bantuan,” ujarnya. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here