Zero Hunger hantar 1,700 juadah sahur di Malayan Mansion dan Selangor Mansion

0
57

CYBERJAYA – Program Zero Hunger menghantar sebanyak 1,700 bekas juadah sahur kepada petugas barisan hadapan dan penghuni di Malayan Mansion dan Selangor Mansion awal pagi tadi.

Sumbangan melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu diagihkan menerusi kerjasama Zero Hunger, Persatuan Kebajikan Anak Kami dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pengarah Bahagian Food & Baverage (F&B) Malakat Mall, Aziz Juhari berkata, sumbangan juadah sahur di kawasan berkenaan akan diteruskan dalam masa seminggu.

“Pada pukul 3 pagi tadi kami telah mengagihkan 1,700 bekas makanan kepada barisan hadapan dan penghuni di kawan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) itu.

“Program ini akan diteruskan selama seminggu, selepas itu kita akan berbincang sama ada ia akan diteruskan atau tidak. Kami berharap ia akan diteruskan,” katanya ketika dihubungi Malakat Tribune hari ini.

Menurut Aziz, dalam masa seminggu itu, pihaknya akan menumpukan kawasan Malayan Mansion dan Selangor Mansion sahaja namun, tidak menolak kemungkinan untuk ke lokasi lain juga.

Dalam perkembangan lain, Aziz berkata, lokasi tumpuan seterusnya untuk mengagihkan bantuan melalui Zero Hunger ialah di kawasan PKPD lain iaitu di Taman Sri Murni.

“Kami rancang untuk ubah sedikit konsep bantuan. Kami akan menfokuskan kepada keperluan yang mendesak seperti barangan bayi, ubat-ubatan kepada penghuni kawasan berkenaan,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here