Zero Hunger sampaikan bantuan di Kelantan

0
305

JELI- Sumbangan kepada golongan memerlukan melalui program Zero Hunger diperluaskan ke tiga daerah di Kelantan iaitu di Gua Musang, Jeli dan Kuala Krai.

Penghantaran bekalan beras, gula, tepung, minyak masak dan telur itu dilakukan oleh pasukan sukarelawan Brainy Ranger Emegency Respon Team (BERT).

Proses agihan sumbangan selama dua hari bermula semalam itu melibatkan 15 buah kenderaan pacuan empat roda yang bertolak dari Malakat Mall pada pukul 7.30 pagi.

Konvoi tiba di pusat agihan pertama di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Gua Musang pukul 11.45 pagi selepas melintasi sembilan sekatan raya sepanjang perjalanan.

Selepas menyerahkan segala bekalan dan sumbangan di Gua Musang, sukarelawan BERT menyambung perjalanan sejauh 90 kilometer (km) atau sejam 20 minit lagi untuk ke Jeli.

Setibanya di Jeli, rombongan BERT disambut dengan mesra Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Mustapa Mohamed, Zahari Kechik bersama kakitangannya.

Terima kasih juga kepada ‘Tok Pa’ yang sudi menaja penginapan sukarelawan BERT selain turut menyediakan juadah berbuka puasa dan sahur.

Pengarah Operasi BERT, Mohd. Fuad Rahim ketika ditemui Malakat Tribune berkata, secara keseluruhan sebanyak 700 pek bekalan makanan diagihkan di tiga daerah itu.

Selepas agihan di Gua Musang katanya, semua sukarelawan bergerak pula ke Jeli bagi menghantar bekalan ke kawasan berkenaan di Pusat Khidmat Parlimen Jeli.

“Secara keseluruhan 700 pek bekalan makanan kita hantar ke Kelantan untuj golongan memerlukan yang terputus bekalan makanan semasa Perintah Kawalam Pergerakan (PKP).

“Hari ini, kami akan sambung misi seterusnya untuk hantar sumbangan di daerah Kuala Krai pula, kita juga hulurkan sumbangan kepada barisan hadapan di sini.

“Insya Allah selepas ini program Zero Hunger akan ke Terengganu pada minggu hadapan. Sebelum ini, kita telah ke Kedah, Melaka dan Pahang,” katanya.

Sementara itu, Zahari mengucapkan terima kasih kepada Yayasan Brainy Bunch dan Malakat Mall kerana menghantar bekalan makanan kepada masyarakat di Jeli.

“Terima kasih dan ‘Tok Pa’ sampaikan salam kepada semua. Sumbangan ini akan diagihkan seperti mana yang telah dimaklumkan oleh pihak Zero Hunger.

“Sebelum ini, ‘Tok Pa’ sendiri juga telah mengagihkan sumbangan kepada masyarakat di sini. Alhamdulillah rezeki mereka ketika musim PKP ini,” katanya.

Dalam pada itu, Penolong Pegawai JKM Gua Musang, Mohd. Faizal Ibrahim juga senada dengan Zahari mengucapkan terima kasih di atas sumbangan bekalan makanan.

“Seperti yang diamanahkan, kami akan sampaikan kepada penerima-penerima yang telah disenaraikan oleh pihak Zero Hunger. Jika lebih, kami akan salurkan kepada yang memerlukan,” katanya.

Sumbangan bagi daerah Kuala Krai disampaikan kepada Penolong Ketua Pejabat Tanah dan Jajahan Kuala Krai, Mohd. Irfan Zaki dan Penolonh Pegawai JKM Kuala Krai, Zulkifli Mat.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here