
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Oleh SITI KHAIRULNISAH MOHAMMED BAJURI
CYBERJAYA – Sebanyak 14 agensi telah diberi kuasa oleh Kementerian Kesihatan untuk melaksanakan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negara.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara agensi terlibat adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM); Angkatan Tentera Malaysia (ATM); Angkatan Pertahanan Awam (APM); Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia); Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (DOSH) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).
Tambah beliau, selain itu, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM); Jabatan Kerja Raya (JKR); Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ); Majlis Keselamatan Negara (MKN); Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan kementerian seperti Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Menurutnya, jumlah anggota penguat kuasa akan ditambah lagi seperti Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) bagi melaksanakan pematuhan PKPB di seluruh negara.
“PDRM telah menubuhkan penguat kuasa Operasi Pematuhan bagi pemantuan dan penguatkuasaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negara.
“Selain itu, kesemua Ketua Polis Daerah (KPD) juga telah menubuhkan Pasukan Pematuhan PKPD di peringkat daerah dan pasukan ini dianggotai secara tetap oleh PDRM, ATM, Rela dan APM serta pihak berkuasa tempatan (PBT) juga akan ditambah untuk menganggotai Pasukan Pematuhan PKPD,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.
Ismail Sabri menjelaskan, pendekatan yang akan diambil oleh Pasukan Pematuhan ini adalah untuk memberi nasihat kepada orang ramai dan sektor industri.
Beliau turut menegaskan, pasukan ini juga akan memberi amaran jika tahap pematuhan masih tidak memuaskan.
“Sekiranya ada individu atau sektor industri yang masih gagal mematuhi peraturan setelah diberi nasihat dan amaran, maka Pasukan Pematuhan PKPD akan mengambil tindakan mengikut peruntukan dibawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya. – MBNews