19 lagi barangan baharu dalam SHMMP

0
136
Sebanyak 19 agi barangan baharu dimasukkan dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan yang dilaksanakan 20 Mei lalu sehingga 3 Jun ini.

CYBERJAYA – Kerajaan menambah 19 lagi barangan baharu sebagai barangan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena tiga perayaan yang disambut di negara ini bermula 20 Mei lalu sehingga 3 Jun ini.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dalam kenyataan di sini berkata, dengan senarai 16 barangan harga terkawal yang telah ditetapkan dan berkuatkuasa semalam, jumlah keseluruhan barangan harga terkawal ditentukan harga maksimum adalah sebanyak 35 barang.

Menurut kenyataan itu, pertambahan barangan itui adalah atas permintaan pengguna dan item tersebut merupakan barangan pilihan utama semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). 

“Diharapkan harga barang tersebut adalah terkawal dengan penetapan harga siling di peringkat borong dan runcit terutamanya di pasar basah dan penjaja kecil yang menjadi tumpuan pengguna berbelanja pada musim perayaan. 

“Penentuan harga barangan yang terpilih dibuat mengikut kesesuaian harga semasa dengan mengambil kira faktor perubahan harga, khususnya bagi barangan import yang dipengaruhi harga dari negara asal, perubahan kadar tukaran mata wang dan peningkatan kos operasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sepanjang SHMMP itu, tiga perayaan disambut oleh masyarakat negara ini iaitu Hari Raya Aidilfitri, Pesta Keamatan dan Hari Gawai.

Antara barangan tersebut ialah tomato,  kubis bulat import (Indonesia dan China, tidak termasuk Kubis Beijing), cili merah, lada benggala hijau, Kacang panjang,  sawi hijau, bendi, bawang besar (China) dan bawang besar (Holland).

Turut termasuk dalam SHMMP  ialah ubi kentang import (China), cili kering, kacang tanah, ikan kembung termasuk ikan mabung (berat antara tujuh ekor hingga 10 ekor setiap kilogram), ikan selayang (berat antara tujuh ekor hingga 10 ekor setiap kilogram) dan ikan aya atau tongkol (berat antara tujuh ekor hingga 10 ekor setiap kilogram).

 “Selain itu ikan segar beku kembung (berat antara lapan ekor hingga 10 ekor setiap kilogram), ikan segar beku selayang (berat antara lapan ekor hingga 10 ekor setiap kilogram), ikan segar beku selar (berat antara 8 ekor hingga 10 ekor setiap kilogram) ikan demudok/Sagai/Cermin/Cupak (berat antara tiga hingga lima ekor setiap kilogram) turut tersenarai dalam SHMMP,” kata kenyataan itu.

Jelas kenyataan itu, kementerian akan terus meningkatkan pemantauan dan pemeriksaan ke atas bekalan dan harga barangan di seluruh negara. 

Tegas kenyataan itu, peniaga hendaklah mematuhi arahan yang dikenakan dan mengamalkan sikap beretika dalam menguruskan perniagaan manakala pengguna mestilah mengetahui tanggungjawab dan menggunakan hak mereka. 

Katanya kenyataan itu, kementerian menyarankan kepada pengguna supaya tidak membuat pembelian berlebihan yang boleh memberi tekanan kepada harga barangan. 

“Disamping itu, diingatkan agar pengeluar, pemborong dan peruncit tidak menaikkan harga secara mendadak selepas berakhirnya pelaksanaan Skim ini. 

“Skim ini akan berjaya sekiranya semua pihak bertanggungjawab dan memainkan peranan masing-masing,” kata kenyataan itu. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here