200 pekerja pembersihan Bukit Aman terima bantuan program Zero Hunger

0
432
Pengarah Urusan Sivdio Imaging Sdn Bhd, Azhan Maidin (tiga kiri) serah sumbangan kepada salah seorang pekerja pembersihan sambil diperhatikan oleh Penolong Pengarah Perjawatan (pengambilan) Bukit Aman, Datin Sharifah Zanariah Syed Mahamood (lima kanan).

Oleh SITI KHAIRULNISAH MOHAMMED BAJURI

KUALA LUMPUR – Seramai 200 pekerja pembersihan di Kompleks Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, menerima sumbangan bahan makanan menerusi program Zero Hunger hasil kerjasama Malakat Mall dan Sivdio Imaging Sdn Bhd.

Pemberian sumbangan bahan makanan menerusi Zero Hunger itu bagi membantu meringankan beban yang ditanggung ketika musim PKP berjalan.

Pengarah Urusan Sivdio Imaging Sdn Bhd, Azhan Maidin berkata, pihaknya mendapat idea daripada seorang rakannya yang mahu membantu golongan B40 yang terjejas akibat PKP.

“Saya juga dihubungi oleh pihak PDRM bagi permohonan bantuan ini dan kami menghubungi Malakat Mall untuk mendapatkan bahan makanan untuk disumbangkan.

“Malakat Mall menerusi Program Zero Hunger yang digerakkan di bawah Brainy Ranger membantu kami untuk mendapatkan bekalan dan alhamdulliah ia dapat diserahkan pada hari ini,” katanya kepada MBNews.

Dalam pada itu, Penolong Pengarah Perjawatan (pengambilan) Bukit Aman, Datin Sharifah Zanariah Syed Mahamood berkata, pihaknya berbesar hati menerima sumbangan yang diberikan oleh pihak Sivdio Imaging dan Malakat Mall.

Anggota PDRM bersama-sama sukarelawan Zero Hunger memindahkan bahan makanan sebelum diserahkan kepada mereka yang layak.

Katanya, pemberian berupa bahan makanan itu akan diagihkan kepada pekerja pembersihan di Bukit Aman yang terjejas akibat PKP.

Menurutnya, sebelum ini mereka mempunyai pendapatan lain namun disebabkan PKP menyebabkan rezeki mereka terjejas.

“Kami berterima kasih kepada pihak Malakat Mall dan Sivdio Imaging kerana menyumbang bahan makanan untuk mereka yang terpilih.

“Pihak kami juga mengalu-alukan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mahu menyumbang,” katanya.

Ditanya sumbangan yang diperlukan, Sharifah Zanariah menjawab, pihaknya memerlukan topeng muka dan hand sanitize untuk kegunaan barisan hadapan (frontliners).

Ini kerana, pihaknya juga perlu berurusan dengan orang awam selain berdepan penularan wabak Covid-19.

Dalam pada itu, salah seorang sukarelawan Zero Hunger, Izni Idris berkata, pihaknya berbesar hati dapat membantu golongan yang memerlukan.

Katanya, ia juga menunjukkan program Zero Hunger masih relavan untuk terus membantu golongan B40.

Anggota polis menyusun bahan makanan sebelum diserahkan kepada penerima.

“Pada hari ini kami (sukarelawan Zero Hunger) berbesar hati dapat membantu mereka yang memerlukan dan tersepit ketika PKP sedang berjalan.

“Walaupun PKP dilonggarkan, masih ramai yang memerlukan bantuan makanan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Bagi yang mahu menyumbangkan sumbangan boleh terus ke https://sadaqahmarket.com/ untuk menyumbang,” katanya. – MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here