3 elemen resipi kejayaan Mohamed Feroz

0
328
Gedung tekstil Jakel di Kuala Lumpur. – Gambar FARID JANUDIN

KUALA LUMPUR – Doa ibu bapa, sedekah amal jariah dan membayar zakat. Itu antara tiga elemen menjadi pegangan Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Mohamed Feroz Mohamed Jakel mengenai kejayaan gedung tekstil itu yang diusahakan sejak 35 tahun lalu.

Menurut Mohamed Feroz, niat beliau menceburi bidang itu adalah untuk berjihad dalam ekonomi kerana bukan untuk diri sendiri tetapi membantu juga orang lain yang memerlukannya.

“Kita jihad ekonomi untuk naikkan orang Melayu dan sebagainya tetapi biasalah mereka yang iri hati dengan kejayaan Jakel.

“Ramai yang pelik bagaimana Jakel boleh berjaya. Saya pegang tiga elemen iaitu doa ibu bapa, sedekah amal jariah dan bayar zakat. Kamu jaga amalan ini, Allah jaga kamu. Perkara ini bukan baharu. Sudah bertahun diamalkan,” katanya kepada Malakat Tribune.

Mohamed Feroz menambah, amalan membantu golongan asnaf bukan dilakukan sejak akhir-akhir ini tetapi telah dilaksanakan sejak bertahun lamanya.

Beliau berkata, beberapa madrasah sekitar Lembah Klang dibantu bagi memastikan pelajar tahfiz tidak terjejas dalam menuntut ilmu.

“Ada tiga madrasah di Bangi saya bantu selain di Gombak, Hulu Langat, Bandar Tun Hussein Onn dan Sungai Buloh.

“Ada satu madrasah di Parit Jawa, Muar Johor meminta bantuan kerana mereka keputusan bekalan makanan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Saya hantar staff saya untuk menyampaikan sumbangan di sana,” katanya.

Mohamed Faroz Mohamed Jakel ketika ditemubual oleh Malakat Tribune di Jakel Mall.

Selain itu sepanjang tempoh PKP, beliau turut membantu lebih 7,000 keluarga Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Lembah Klang dan menyasarkan seramai 10,000 keluarga menerima bantuan tersebut sepanjang Ramadan ini.

Beliau juga memberitahu, personaliti televisyen, Ras Adiba Radzi turut meminta bantuan daripadanya untuk menghulurkan sumbangan kepada golongan asnaf.

“Ketika itu PKP baru bermula, beliau berjumpa saya kerana tiada pihak ingin membantunya. Saya tanya apakah bantuan diperlukan lalu dia memaklumkan mahu membantu golongan gelandangan yang keputusan bekalan makanan.

“Saya bagi bekalan makanan kering bernilai lebih RM100 kepada mereka. Mereka ada keluarga dan sudah tentu stok bekalan penting dalam menghadapi situasi PKP,” ujarnya.

Beliau berkata, urusan pengagihan bekalan makanan itu diuruskan Jabatan Tanggungjawab Sosial Korporat yang akan turun padang membantu menyampaikan sumbangan kepada golongan terbabit.

“Saya pesan kepada staf jika penerima tanya siapakah yang memberi sumbangan itu katanya ia adalah pemberian daripada hamba Allah,” ujarnya yang merendah diri dalam melakukan amal jariah. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here