54 kes positif Covid-19 baharu dikesan

0
81

PUTRAJAYA – Sebanyak 54 kes baharu Covid-19 dicatatkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes dilaporkan setakat ini sebanyak 6,589 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya juga merekodkan sebanyak 65 kes pulih dan dibenarkan discaj hari ini.

Jumlah terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes pulih dan dibenarkan keluar wad seramai 4,929 kes atau 74.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Beliau berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,552.

Katanya, seramai 45 kes daripada 54 kes positif baharu itu terdiri daripada warganegara asing.

“Mereka sudah diasingkan dan diberi rawatan. Ingin dimaklumkan bahawa daripada 54 kes baharu yang dilaporkan hari ini, satu kes import dilaporkan.

“Ini bermakna, kes penularan tempatan adalah sebanyak 53 kes, dengan tiga kes dikesan dari kluster dan lokaliti bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Mengulas mengenai status terkini kluster Pedas, seramai 28 kes baharu dikesan sehingga 12 tengah hari tadi menjadikan kes positif keseluruhan sebanyak 88 kes.

Kes-kes positif kluster ini melibatkan 81 kes bukan warganegara iaitu 33 kes warga Nepal; 26 kes warga Bangladesh; 11 kes warga Indonesia dan 11 kes warga Myanmar.

“Punca jangkitan bagi kluster ini masih di dalam siasatan,” katanya. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here