584 pelajar IPT dihantar pulang hari ini

0
91
Ismail Sabri menyatakan seramai 584 pelajar IPT dihantar pulang hari ini.

Oleh SITI KHAIRULNISAH MOHAMMED BAJURI

CYBERJAYA – Seramai 584 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) akan dihantar pulang ke kampung halaman masing-masing melalui dua penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu hari ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sejak 27 April lalu hingga hari ini, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sudah menghantar pulang 53,785 pelajar IPT yang berada di kampus ke pangkuan keluarga pelajar masing-masing.

“Semalam, KPT telah menghantar pulang 1,144 pelajar melalui empat penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu.

“KPT juga memastikan semua pelajar yang terbabit dalam pergerakan pulang ke kampung halaman untuk menjalani saringan ujian swab sebelum diterbangkan pulang,” katanya dalam sidang akhbar harian PKPB di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memberitahu sehingga pukul 8 pagi tadi, sebanyak 272 pusat kurantin telah beroperasi berbanding 271 pada hari sebelumnya.

Katanya, ia melibatkan 12,334 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib.

“Semalam, seramai 815 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air dari Singapura, Indonesia, Thailand, China, India, Jepun, Bangladesh serta Australia dan mereka telah dikuarantin wajib.

“Setakat ini, seramai 42,000 rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara telah dikuarantin wajib sejak 3 April 2020 dan sehingga hari ini, seramai 34,011 individu telah selesai menjalani tempoh kuarantin wajib dan dibenarkan pulang,” katanya.- MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here