Agong hargai pengorbanan petugas barisan hadapan

0
231
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan titah sempena Hari Raya Aidilfitri bersama Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menerusi siaran langsung yang disiarkan saluran RTM 1 malam tadi.

CYBERJAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengajak rakyat untuk tidak merasa gusar dan sedih hanya kerana tidak dapat meraikan Hari Raya Aidilfitri tahun seperti kelaziman lalu.

Baginda dalam titah sempena Hari Raya Aidilfitri bertitah, rakyat sewajarnya bersyukur kerana mempamerkan tahap disiplin dan daya tahan yang tinggi serta sabar menghadapi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hampir dua bulan.

“Sebenarnya banyak pengajaran dalam menghadapi wabak Covid-19 ini. Kita pelajari, bahawa sesuatu virus atau sakit boleh menyerang manusia tanpa mengira pangkat mahu pun darjat.

“Kita juga insaf, kesihatan dikurniakan Allah ini suatu kurniaan tidak ternilai harganya. Ia turut mengajar kita setiap manusia mempunyai ikatan pertalian hubungan yang rapat antara satu dengan lain, tanpa mengira kaum, bangsa dan agama.

“Jika seorang daripada rakyat tidak menjaga kesihatan diri, kesannya akan menular kepada masyarakat setempat dan akhirnya ke seluruh negara,” titah baginda seperti dipetik portal Berita Harian hari ini.

Al-Sultan Abdullah turut memberi penghargaan terhadap jasa, komitmen, keberanian dan pengorbanan petugas barisan hadapan negara dalam membendung penularan wabak Covid-19.

“Beta amat menghargai pengorbanan mereka yang terpaksa bertugas pada lebaran ini, terutamanya kepada petugas perkhidmatan kesihatan, anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta semua anggota agensi kerajaan yang menjaga kesejahteraan, keamanan dan kedaulatan negara,” titah baginda.

Baginda turut mengajak seluruh rakyat Malaysia mengamalkan normal baharu, emandangkan pandemik Covid-19 sudah memaksa perubahan dalam kehidupan seharian.

“Justeru, teruskan menjaga kebersihan diri dan mengamalkan penjarakan sosial. Hindari dan jauhi aktiviti tidak penting. Gunakan masa yang ada untuk membina syurga di rumah bersama keluarga tercinta.

“Insya-Allah, beta yakin berkat semangat dan kekuatan jati diri bangsa Malaysia serta perpaduan yang utuh, negara ini akan dapat menumpaskan wabak Covid-19 ini buat selama-lamanya,” titah baginda.

Mengakhiri titah, baginda bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, mendoakan rakyat Malaysia dan negeri ini berada di bawah perlindungan Allah dan dijauhi sebarang musibah dan bencana.

“Beta dan Raja Permaisuri Agong berdoa semoga negara akan segera kembali pulih seperti sedia kala supaya rakyat dapat mengecapi nikmat kerancakan ekonomi dan kemanisan hidup dalam sebuah negara yang maju, aman serta makmur,” titah baginda.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here