Agong, Raja Permaisuri zahirkan ucapan Selamat Hari Jururawat Sedunia

0
215

Oleh NURUL FIRDAUS KHAIRI

CYBERJAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan Selamat Hari Jururawat Sedunia kepada semua jururawat di negara ini.

Dalam satu kenyataan yang dimuatnaik dalam akaun Instagram Istana Negara berkata,  Seri Paduka berdua amat menyanjung tinggi perjuangan jururawat atas jasa bakti dan sumbangan mereka kepada keselamatan serta kesihatan masyarakat.

Menurut kenyataan itu, khidmat dan pengorbanan tanpa mengira masa dan penat lelah, yang dihulur oleh para jururawat sebagai benteng utama bersama petugas barisan hadapan yang lain dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19 amat dihargai oleh Seri Paduka berdua.

“Seri Paduka amat menghargai komitmen dan dedikasi tinggi para jururawat dalam menjalankan tanggungjawab dan tugas merawat pesakit.

“Para jururawat adalah antara aset yang sangat penting bagi Kementerian Kesihatan dan negara. Syabas dan terima kasih atas perkhidmatan kesihatan dan jasa khidmat kepada masyarakat. Anda semua wira dan wirawati kami!,” katanya.

Sementara itu, dalam akaun Instagram Raja Permaisuri Agong juga baginda bertitah bahawa baginda amat menghargai pengorbanan semua jururawat yang sanggup mengetepikan nyawa sendiri demi membantu individu yang dijangkiti Covid-19.

Dalam video berdurasi dua minit 27 saat itu baginda turut mendoakan semoga Allah SWT membalas jasa semua jururawat yang telah memberi  perkhidmatan yang begitu ikhlas kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih dengan ikhlas kerana saya faham dan tahu mereka letakkan nyawa aside untuk menolong semua yang telah dijangkiti Covid-19.

“Saya doakan semoga Allah selamatkan semua jururawat dan Allah jugalah membalasa jasa-jasa anda semua yang telah memberikan perkhidmatan yang begitu ikhlas untuk rakyat Malaysia tidak kira bangsa dan agama,” titah baginda.

Pada akhir video berkenaan, Tunku Azizah mengucapkan selamat berpuasa dan menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada semua barisan hadapan yang beragama Islam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here