Aidilfitri: Rentas negeri tidak dibenarkan, dalam negeri sahaja boleh

0
233

CYBERJAYA – Hasrat orang ramai khususnya warga kota untuk pulang ke kampung halaman yang berlainan negeri bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak kesampaian apabila kerajaan memutuskan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilanjutkan sehingga 9 Jun hadapan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah itu terpaksa diambil selepas mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi membendung penularan wabak Covid-19

“PKPB yang berkuatkuasa sehingga 12 Mei ini akan disambung lagi sehingga 9 Jun hadapan, iaitu selama empat minggu lagi.

“Ini bermakna, semua peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan sepanjang tempoh PKPB pada masa ini akan kekal berkuatkuasa sehingga 9 Jun,” katanya dalam Perutusan Khas Perdana Menteri hari ini.

Beliau berkata, sebarang perubahan mengenai peraturan, SOP atau senarai sektor yang dibenarkan beroperasi akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

“Dalam tempoh ini, ada beberapa perayaan utama yang lazimnya akan melibatkan pergerakan orang ramai, iaitu Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai.

“Minta maaf banyak-banyak, saya mohon ampun, demi menjaga keselamatan dan kesihatan kita semua, perjalanan balik kampung merentas sempadan negeri untuk tujuan berhari raya tidak dibenarkan,” ujarnya.

Namun begitu, Perdana Menteri berkata, program kunjung-mengunjung dalam kalangan jiran terdekat dan keluarga yang tinggal dalam negeri yang sama masih dibenarkan.

“Ini tak bermakna kita tak boleh menyambut perayaan Aidilfitri, Pesta Kaamatan atau Hari Gawai. Ziarah-menziarahi dibenarkan dalam kalangan jiran terdekat dan keluarga yang tinggal dalam negeri yang sama dengan had maksimum 20 orang pada satu-satu masa.

“Jadi tak perlulah buat jamuan besar-besaran atau rumah terbuka,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here