
KUALA LUMPUR – Pelanggan AirAsia dengan tempahan penerbangan antara tempoh 23 Mac hingga 31 Julai boleh memilih sama ada untuk mempunyai akaun kredit dengan tempoh sah dua tahun atau perubahan penerbangan tanpa had bagi penerbangan yang berlepas sehingga 31 Oktober ini.
AirAsia Bhd. dalam kenyataan berkata, kesahihan akaun kredit sebelum ini yang dikeluarkan bagi gangguan penerbangan berkaitan Covid-19 juga akan dilanjutkan secara automatik sehingga dua tahun untuk perjalanan pada masa depan.
Syarikat penerbangan tambang murah itu berkata, pelanggan boleh memilih dua pilihan itu iaitu pilihan pertama membolehkan mereka menukar tarikh penerbangan bagi laluan sama tanpa had dan tanpa perlu menanggung sebarang kos tambahan sebelum 31 Oktober ini tertakluk kepada ketersediaan tempat duduk.
Bagi yang memilih pilihan akaun kredit akan dapat mengekalkan nilai tempahan penerbangan dalam akaun AirAsia BIG Member mereka bagi perjalanan pada masa depan dengan AirAsia, boleh ditebus dalam masa 730 hari iaitu bersamaan dua tahun dari tarikh pengeluaran tiket.
“Tarikh perjalanan tempahan baharu boleh pada mana-mana tarikh dalam jadual penerbangan yang dikeluarkan di airasia.com,” kata syarikat penerbangan tambang rendah itu seperti dipetik Bernama hari ini.
AirAsia berkata, dalam tempoh beberapa minggu akan datang, tempoh sah bagi semua akaun kredit yang tidak digunakan yang dikeluarkan kepada pelanggan yang terjejas akibat sekatan perjalanan Covid-19 juga akan dilanjutkan secara automatik kepada dua tahun.
“Ini hanya terpakai bagi tempahan dalam talian secara terus yang dibuat menerusi airasia.com. Bagi tempahan kumpulan atau yang dibuat menerusi ejen pelancongan, sila rujuk kepada ejen tempahan masing-masing bagi maklumat selanjutnya,” kata syarikat penerbangan itu.
AirAsia berkata, syarikat penerbangan itu mematuhi nasihat dan peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan tempatan, pihak berkuasa penerbangan awam, agensi kesihatan tempatan dan global termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Ia juga memantau dengan rapat situasi ini dan berhak untuk mengumumkan dasar-dasar seterusnya mengikut perkembangan terkini.
Pelanggan boleh merujuk kepada Panduan Covid-19 syarikat penerangan itu bagi arahan bagaimana untuk menggunakan AI chatbot AVA di support.airasia.com atau airasia.com untuk membuat pilihan.