Aktiviti seni dibenarkan dengan bersyarat

0
119
Golongan artis dan pekerja seni dibenarkan memulakan penggambaran selepas Hari Raya Aidilfitri. – Gambar hiasan daripada akaun Facebook TV Alhijrah.

CYBERJAYA – Rintihan golongan industri seni yang terjejas pendapatan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akhirnya didengari apabila mereka dibenarkan menjalani aktiviti penggambaran sepanjang tempoh PKP Bersyarat (PKPB).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri mengenai pelaksanaan PKP dan mereka boleh memulakan penggambaran selepas perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Menurut beliau, namun mereka perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Antara SOP yang perlu dipatuhi adalah melakukan mesyuarat dan uji bakat secara dalam talian.

“Mereka juga perlu mengemukakan rekod perjalanan semua tenaga produksi dan artis bagi tempoh empat minggu sebelum penggambaran dan memastikan tidak lebih daripada 20 orang terlibat dalam setiap sesi penggambaran,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Ismail Sabri menambah, syarikat produksi juga perlu melantik seorang penyelia keselamatan bagi memastikan pematuhan SOP di semua peringkat produksi.

Beliau berkata, perkhidmatan bufet bagi petugas dan artis adalah tidak dibenarkan dan makanan perlu dihidangkan secara pek individu.  “Jurusolek dan penata rias juga perlu menggunakan pelindung muka dan memastikan mencuci tangan sebelum dan selepas menyolek dan menata rias setiap artis,” katanya. 

Menurut beliau, penggambaran atau rakaman Centre stage dan persembahan secara langsung yang melibatkan tontotan ramai masih tidak dibenarkan. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here