Oleh SITI AZIELAH WAHI
Dar kiri, Pengarah BERT Mohd Fuad Rahim dan Ketua Pengarah Urusan Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim bersama Ketua Pegawai Kewangan Allo Technology, Ahmad Nadzri Hamzah serta Ketua Komunikasi Korporat Allo Technology, Raja Sazita Raja Ahmed Siffudin
CYBERJAYA – Penyedia perkhidmatan telekomunikasi Allo Technology menyumbangkan sebanyak RM10, 000 kepada Malakat Mall dan Yayasan Brainy Bunch selaku penganjur projek Zero Hunger.
Sumbangan itu diserahkan oleh Ketua Pegawai Kewangan Allo Technology, Ahmad Nadzri Hamzah kepada Ketua Pegawai Eksekutif Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim.
Hasil sumbangan itu disalurkan kepada 200 keluarga B40 yang terjejas sekitar Cheras sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ketua Komunikasi Korporat Allo Technology, Raja Sazita Raja Ahmed Siffudin berkata, sumbangan itu sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat berkenaan bagi meringankan beban keluarga yang terjejas susulan pendemik Covid-19.
“Kami yang beroperasi di Cyberjaya memilih untuk menyalurkan sumbangan ini melalui Malakat Mall yang merupakan salah satu entiti yang dipercayai dan aktif melaksanakan aktiviti amal melalui projek Zero Hunger.
“Diharapkan dengan bantuan ini sedikit sebanyak membantu golongan memerlukan dalam membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri, ” katanya.
Selain barangan keperluan seperti beras, telur, minyak masak, tepung, gula dan kurma, kali ini keluarga yang layak mendapat bantuan turut menerima beberapa jenis kuih raya, daging burung puyuh dan pau sejuk beku.
Dalam pada itu, pasukan agihan Projek Zero Hunger dari Brainy Ranger Emergency Response Team (BERT), mengagihkan 200 bungkusan sumbangan itu kepada keluarga B40 sekitar Cheras.-MBNews