Anwar ucap Hari Kebebasan Media Sedunia kepada pengamal di Malaysia

0
190
Anwar Ibrahim

CYBERJAYA – Peningkatan 22 mata dengan menduduki tempat ke 101 dalam indeks tahunan Kebebasan Media Dunia 2020 tahun ini adalah bukti kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini membuka lebih ruang dan kebebasan kepada pengamal media di negara ini, kata Anwar Ibrahim.

Anwar berkata, Pakatan Harapan akan terus mendukung kewujudan industri media yang profesional, bertanggungjawab dan bebas, seiring dengan konsep demokrasi dan negara hukum.

“Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada semua pengamal media di Malaysia atas peningkatan ketara naik 22 mata untuk menduduki tempat ke-101 dalam indeks tahunan Kebebasan Media Dunia 2020 yang dikeluarkan Reporters Without Borders atau Reporters sans frontières (RSF).

“Kejayaan ini membawa makna pentadbiran Pakatan Harapan sebelum ini memberi komitmen jelas dalam membuka lebih banyak ruang dan kebebasan bermaklumat dalam kalangan pengamal media,” katanya dalam ucapan sempena Hari Kebebasan Media Sedunia di laman Facebook rasminya hari ini.

Presiden PKR yang berusia 72 tahun menegaskan parti itu akan terus mendukung kewujudan industri media yang profesional, bertanggungjawab dan bebas, seiring dengan konsep demokrasi dan negara hukum.

Dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai pengamal media katanya, golongan itu terdedah dengan risiko dan keselamatan diri, terutama di negara-negara yang mencengkam kebebasan media.

“Salut saya kepada mereka yang berkorban dan yang berada di barisan depan, terutamanya saat rempuhan wabak Covid-19, yang semestinya meletakkan mereka berisiko untuk terdedah kepada jangkitan,” katanya.

Tambah beliau, media terus menjadi rujukan utama masyarakat dengan laporan yang tepat tanpa kekeliruan dan kecelaruan fakta terutama ketika dunia ketika ini sedang dilanda wabak Covid-19. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here