Bank disarankan lupuskan faedah terakru pinjaman sewa beli, keuntungan pembiayaan Islam kadar tetap

0
166
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz

CYBERJAYA – Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz menyarankan supaya semua institusi kewangan untuk melupuskan faedah terakru atas pinjaman sewa beli dan atas keuntungan pembiayaan Islam kadar tetap.

Beliau berkata, meskipun menerusi Akta Bank Negara 2009, isu itu berada di bawah bidang kuasa Bank Negara Malaysia (BNM), Kementerian Kewangan telah memulakan langkah proaktif mencari penyelesaian terhadap kemelut itu.

Beliau berkata, berikutan itu pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama BNM dan bank-bank untuk membuat keputusan yang tepat mengikut keperluan rakyat.

“Mengambil kira terdapat kemungkinan ia dapat dilaksanakan dan setelah mendengar permintaan rakyat, saya ingin menyarankan agar senua institusi kewangan khususnya yang terlibat dalam moratarium ini untuk mempertimbangkan supaya faedah terakru bagi pinjaman sewa beli atau keuntungan bagi pembiayaan Islam berkadar tetap dilupuskan sewaktu tempoh enam bulan moratorium,” katanya dalam laman Facebook miliknya hari ini.

Kelmarin, orang ramai melahirkan perasaan tidak puas hati apabila wujud maklumat bercanggah berhubung isu tersebut sehingga ramai menganggap kerajaan melakukan u-turn.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, antara punca kekeliruan itu disebabkan pelbagai sumber yang membawa maklumat kurang tepat.

Sehubungan itu, katanya, BNM semalam telah pun menerbitkan di laman web BNM sebuah dokumen soalan lazim Mengenai Pengendalian Moratorium bagi Pinjaman Sewa Beli dan Pembiayaan Islam Berkadar Tetap yang telah dikemaskini.

“Kami di Kementerian Kewangan bersedia untuk bekerjasama dengan BNM dan sektor perbankan bagi memastikan pelaksanaan saranan ini.

“Kerajaan sentiasa peka kepada cetusan hati nurani rakyat, terutamanya dari golongan B40 dan M40, dan mengambil berat perkara ini.

“Dalam keadaan ekonomi yang serba mencabar disebabkan oleh wabak Covid-19, saya amat berharap pandangan ini dapat diberi pertimbangan yang sewajarnya oleh BNM dan juga institusi-institusi kewangan dalam negara,” ujarnya. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here