Bekas menteri bawa soal keabsahan PKP mengarut

0
724
AMINUDDIN YAHAYA

CYBERJAYA – Cadangan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Liew Vui Keong membawa soal keabsahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilakukan kerajaan untuk melawan wabak Covid-19 ke mahkamah adalah satu usaha yang mengarut.

Sambil menyifatkan tindakan itu terdesak dan kehabisan modal berpolitik, Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Aminuddin Yahaya berkata, PKP yang diamalkan oleh Malaysia terbukti berjaya dan dipuji oleh negara-negara lain dan pihak komuniti antarbangsa.

Beliau menambah, langkah itu turut menyaksikan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah sendiri mendapat pengiktirafan yang sangat membanggakan.

“Kini, hasil daripada penguatkuasaan PKP, jumlah kes aktif dan pertambahan kes baharu sudah semakin rendah dan jumlah pulih daripada wabak itu sudahpun melebihi jumlah kes.

“Malah, perniagaan sudah mula dibuka dan berjalan secara berperingkat serta bantuan-bantuan seperti Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dan geran sudah atau sedang diagihkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Vui Keong mempersoalkan kesahan PKP susulan tidak dapat menemui Covid-19 disenaraikan sebagai penyakit berjangkit yang dijadualkan.

Kajiannya terhadap Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit menunjukkan ia ‘sangat tidak jelas’ sama ada kerajaan sudah mentakrifkan Covid-19 sebagai penyakit berjangkit dalam jadual itu.

Aminuddin hairan apa sebenarnya motif bekas menteri itu untuk mencabar keabsahan PKP ini di mahkamah.

“Apakah sebenarnya beliau mahu Malaysia menjadi seperti Amerika Syarikat yang sudah mencecah sejuta kes positif (Covid-19)?

“Di sini timbul satu persoalan, apakah jika Pakatan Harapan (PH) masih memerintah, dasar PKP tidak akan dikuatkuasakan? Apa solusi mereka untuk mengekang penularan wabak ini? Atau adakah mereka tidak kisah pun soal nyawa rakyat?” soalnya.

Beliau meminta pemimpin politik supaya berpada-pada apabila mahu berpolitik dan bukannya segala-galanya perlu dibangkang serta dijadikan isu. 

“Malah, dengan perlakuan sebeginilah menyebabkan rakyat semakin meluat dengan para politikus yang hanya mementingkan pengaruh dan kekuasaan politik sahaja,” katanya. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here