Bekas pesakit Covid-19 perlu elak berjumpa pelawat semasa Aidilfitri

0
147

Datuk Dr. Noor Hisham

CYBERJAYA – Bekas pesakit Covid-19 yang baharu keluar dari hospital perlu dikuarantin selama 14 hari lagi di rumah dan tidak dibenarkan berjumpa dengan pelawat sepanjang tempoh tersebut.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, malah mereka juga tidak dibenarkan bergaul dengan ahli keluarga sendiri sebagai langkah berwaspada.

“Pesakit Covid-19 yang sudah sembuh dan dikesan negatif kita akan benarkan keluar tapi mereka kena kuarantin selama 14 hari selepas keluar.

“Masa kuarantin selama 14 hari mereka dilarang berjumpa dengan pelawat, selepas itu barulah boleh,” katanya dalam sidang akhbar harian Covid-19 hari ini.

Beliau berkata demikian selepa ditanya sama ada pesakit Covid-19 dibenarkan bertemu pelawat semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Dalam pada itu ditanya sama ada Kementerian Kesihatan akan mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) tambahan untuk sambutan perayaan tersebut, katanya, pihaknya menggesa semua pihak mematuhi SOP ditetapkan seperti penjarakan sosial, mencuci tangan dan memakai topeng muka.

Pada masa sama, beliau turut menasihatkan supaya berhari raya secara tertutup bersama ahli keluarga sahaja dan tidak pergi menziarahi kubur seperti kelaziman sebelum ini. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here