Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu

0
152

CYBERJAYA – Sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan kali ke-49 yang akan disambut Sabtu ini membawa tema ‘‘Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu’.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataan berkata, tema itu dipilih kerana menyentuh peranan guru dalam memperkasa keilmuan dan profesionalisme bagi membina generasi baharu negara yang dapat memenuhi matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Menurut kenyataan itu, Hari Guru disambut pada 16 Mei setiap tahun sebagai tanda memperingati dan menghargai pengorbanan guru dalam mendidik, membimbing serta membentuk anak bangsa.

“Guru merupakan insan yang sentiasa dahagakan ilmu dan tidak jemu memperlengkap dirinya dengan pelbagai pengetahuan, kemahiran dan nilai sejajar dengan prinsip pembelajaran sepanjang hayat.

“Dalam konteks berguru, ilmu hendaklah diperoleh daripada seseorang yang mempunyai kepakaran atau kemahiran yang autentik serta berasaskan sumber yang betul, sahih dan berwibawa,” kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, pelajar perlu menginsafi bahawa tidak ada manusia yang mencapai kejayaan di dunia ini tanpa kehadiran insan bergelar guru yang juga banyak membentuk karakter dan keperibadian seseorang.

Kata kenyataan itu, berguru merupakan suatu proses pembelajaran berterusan yang tiada berpenghujung, selagi mana seseorang itu masih menikmati kehidupan di dunia ini.

“Seseorang yang berguru dengan niat ikhlas untuk mendapatkan ilmu akan terus berusaha meningkatkan kefahaman terhadap ilmu tersebut dan juga berusaha meneroka bidang ilmu baharu.

“Ini akan melahirkan lebih ramai ilmuwan yang mampu mencipta dan mereka produk serta perkhidmatan yang memberi impak tinggi kepada masyarakat dan negara,” ujar kenyataan itu.

Kenyataan itu berkata, pelajar yang ada pada hari ini merupakan generasi pewaris masa hadapan negara dan oleh yang demikian, adalah penting untuk guru menanam dalam jiwa pelajarnya kecintaan kepada ilmu bagi melahirkan generasi baharu lebih gemilang dalam pelbagai aspek kehidupan.

“Kita yakin bahawa tema ‘Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu’ dapat memberi semangat baharu kepada guru serta pelajar dan seterusnya membentuk masyarakat yang menuntut ilmu dengan niat ikhlas agar ilmu mudah melekat dalam sanubari,” ujar kenyataan itu. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here