
KETIBAAN Hari Raya Aidilfitri akan disambut umat Islam tidak lama lagi. Sudah pasti seperti tahun-tahun ini pusat beli belah dan bazar Ramadan akan mengadakan jualan istimewa bagi membolehkan orang ramai melakukan persiapan.
Jika dikenang, pelbagai promosi dibuat terutama di bazar-bazar Ramadan yang menawarkan harga runtuh seminggu sebelum Aidilfitri dan harga menjadi lebih murah apabila tibanya malam raya.
Di terminal-terminal bas, stesen kereta api dan lapangan terbang turut meriah setiap kali datangnya Aidilfitri.
Penuh serata tempat orang ramai berpusu-pusu membeli tiket dan menunggu untuk menaiki kenderaan awam untuk pulang ke kampung halaman menemui ibu bapa tercinta.
Dan setiap tahun juga Polis Diraja Malaysia mengerahkan anggotanya bertugas dalam mengurangkan kes kemalangan jalan raya terutama melibatkan kehilangan nyawa.
Namun suasana itu tidak lagi dapat dilihat tahun ini. Ancaman wabak Covid-19 mengubah kehidupan masyarakat kita.
Jika sebelum wabak itu melanda, bersesak-sesakan ditempat awam sudah menjadi lumrah. Kini nak bersesak pun berfikir tiga empat kali kerana tidak tahu siapakah yang pembawa Covid-19.
Kali ini kerajaan terutama hero negara kita, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah menyeru rakyat supaya patuh Perintah Kawalan Pergerakan Bersayarat (PKPB) bagi mengelak data yang landai sebelum ini bakal meningkat semula.
Jika tidak mahu mendengar nasihat pemimpin kerajaan sekali pun, dengarlah nasihat Ketua Pengarah Kesihatan kita.
Beliau gigih tanpa jemu selama lima bulan memastikan rakyat Malaysia patuh pada setiap arahan dan garis panduan ditetapkan kerajaan.
Kenangkan setiap patah perkataan Ketua Pengarah Kesihatan. Beliau sayangkan masyarakat kerana semenjak PKP dilaksanakan amat luar biasa kejutannya diterima apabila rakyat patuh arahan itu.
Apa salahnya kita berkorban sedikit tahun ini menyambut Aidilfitri di rumah masing-masing. Jaga penjarakan sosial jika berkunjung ke rumah saudara mara.
Hubungi ibu bapa atau saudara mara di kampung halaman dengan membuat panggilan video di pagi raya. Jangan sia-siakan teknologi yang ada. Itu sahaja yang mampu kita lakukan demi melihat insan kesayangan kita tidak dijangkiti Covid-19.
Biar menangis sekarang kerana menyambut Syawal yang membawa norma baharu tahun ini. Jangan menangis kemudian hari apabila ingkar peraturan yang menyebabkan ada insan kesayangan kita dijangkiti wabak itu. – MT