BNM kesal kekeliruan timbul susulan perubahan prosedur moratorium

0
106

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) kesal atas kekeliruan timbul daripada salah faham sehingga sedikit sebanyak mungkin disebabkan oleh ilustrasi pengiraan ditunjukkan dalam versi awal soalan lazim yang menggunakan beberapa andaian dan kaveat.

“Pihak BNM berasa kesal atas sebarang kekeliruan dan kebimbangan yang timbul ekoran pengumuman dibuat. Penangguhan bayaran balik pinjaman atau pembiayaan sebenarnya bertujuan membantu aliran tunai peminjam atau pelanggan yang terjejas akibat pandemik Covid-19. Tujuan ini masih tidak berubah.

“Kami kemudian mengeluarkan contoh pengiraan tersebut daripada ini apabila institusi kewangan menyediakan contoh pengiraan mereka masing-masing.

“Ilustrasi yang kami tunjukkan bukan bertujuan untuk ‘menghilangkan’ caj kadar faedah terakru kepada pinjaman yang diberikan penangguhan bayaran balik,” kata bank pusat itu dipetik Bernama hari ini.

Kekeliruan yang timbul adalah disebabkan oleh salah tanggapan bahawa jumlah bayaran balik sesuatu pinjaman Sewa Beli tidak boleh diubah, kata BNM dalam senarai soalan lazim yang dikeluarkan hari ini mengenai penangguhan enam bulan sewa beli dan produk pembiayaan Islam berkadar tetap.

Peminjam atau pelanggan yang akaun pinjaman Sewa Beli dan pembiayaan Islam berkadar tetap mereka menunjukkan penangguhan bayaran balik secara automatik sejak 1 April lalu, akan terus mendapat penangguhan itu sehingga 30 September ini.

Peminjam atau pelanggan dengan sewa beli dan pembiayaan Islam berkadar tetap yang pada mulanya menerima moratorium ini tetapi kemudiannya menukar fikiran masih boleh berbuat demikian, kata bank pusat itu.

BNM dalam pengumumannya pada 25 Mac lalu menasihati peminjam bahawa faedah atau keuntungan akan terus terakru bagi pembayaran yang ditangguhkan dan mereka perlu menimbang perkara ini dalam memutuskan sama ada mereka mahu mengambil moratorium itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here