[VIDEO] Brainy Bunch jalin kerjasama dengan UiTM

0
487

SHAH ALAM – Kumpulan Brainy Bunch hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM) bagi menjalinkan kerjasama dalam bidang pendidikan.

Majlis menandatangani MoU itu disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Brainy Bunch, Mohd. Fadzil Hashim dan Naib Canselor UiTM, Prof. Emeritus Datuk Ir. Dr. Mohd. Azraai Kassim.

Dr. Mohd. Azraai dalam sidang akhbar selepas MoU berkenaan berkata, kerjasama dengan Kumpulan Brainy Bunch merupakan salah satu daripada usaha UiTM dalam memberi sumbangan kepada organisasi.

Brainy Bunch tandatangan MoU bersama UiTM dalam bidang Sains Sukan

“Kerjasama ini melibatkan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi yang akan membekalkan modul dan juga tenaga pengajar dalam bidang Pendidikan Jasmani kepada Brainy Bunch.

“Kerjasama ini untuk jangka masa tiga tahun dan ia bergantung kepada keperluan untuk tempoh pelanjutannya. Kerjasama ini amat baik untuk memberi tunjuk ajar kaedah pembelajaran sebenar Pendidikan Jasmani.

“UiTM mempunyai 46 pensyarah di Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi yang berpengalaman dalam bidang masing-masing. Jadi untuk MoU ini kita akan bekalkan tenaga pengajar dengan modul yang bersesuaian,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Fadzil berkata, Brainy Bunch sebenarnya mahu menggunakan kepakaran UiTM untuk memperbetulkan beberapa kelemahan dalam aspek Pendidikan Jasmani kanak-kanak khususnya di pusat asuhan swasta.

“Jadi ia tidak terhad kepada Brainy Bunch sahaja. Sektor swasta sedia maklum, guru biasanya dilatih untuk fokus akademik dan emosi tetapi bahagian Pendidikan Jasmani tidak libatkan latihan khusus.

“Jadi, inisiatif Brainy Bunch ini adalah yang pertama di dunia. Tidak ada usaha seumpama ini. Melalui kerjasama dengan UiTM, kami akan menggunakan kepakaran mereka untuk mengendalikan pembangunan kanak-kanak.

“Kita juga akan berupaya untuk mengajar dalam konteks sebenar Pendidikan Jasmani sekaligus memberi manfaat berguna. Banyak juga atlet ketika kecil tidak menjaga dan tidak ambil tahu mengenai kecederaan.

“Untuk generasi akan datang, kita mahu jadikan sukan sebagai gaya hidup dan budaya. Sebelum ini, mungkin banyak kelemahan kita misalnya cara pemilihan tenaga pengajar itu sendiri kerana dipilih secara rawak sahaja.

“Insya-Allah selepas kerjasama ini, kita akan berubah ke arah lebih baik sekaligus mendukung tanggungjawab untuk memberikan anak-anak kita pembelajaran yang terbaik,” katanya.

Ketika ditanya sama ada Brainy Bunch akan menandatangani MoU dalam bidang lain dengan UiTM, Mohd. Fadzil berkata, pihaknya bersedia untuk menjalinkan sebarang kerjasama dengan institut pendidikan tinggi (IPT) itu.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here