Caj kuarantin hotel bermula 1 Jun ini

0
128
Ismail Sabri Yaakob dalam sidang akhbar harian mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat di Putrajaya hari ini.

CYBERJAYA – Majlis Keselamatan Negara (MKN) membuat keputusan mengenakan caj kuarantin hotel ke atas semua individu yang memasuki pintu masuk negara bermula 1 Jun ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagi warganegara Malaysia dikenakan caj kuarantin hotel sebanyak 50 peratus daripada kadar penuh iaitu pada harga siling RM150 sehari.

Beliau menambah, bagi bukan warganegara atau permastautin tetap pula mereka akan dikenakan caj hotel sebanyak RM150 sehari.

“Sidang MKN juga membuat keputusan mewajibkan semua yang ingin pulang ke Malaysia untuk menandatangi Surat Setuju Pembayaran 50 peratus bagi warganegara Malaysia dan 100 peratus bagi bukan warganegara melalui pejabat Kedutaan Malaysia yang terdekat.

“Pejabat Kedutaan Malaysia juga akan mengeluarkan surat Kelulusan untuk pulang ke tanah air.

 “Manakala Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan mengeluarkan arahan kepada semua syarikat penerbangan untuk memastikan surat kelulusan dijadikan syarat kepada semua penumpang,” katanya dalam sidang akhbar harian di Putrajaya hari ini.

Dalam pada itu beliau memberitahu, setakat pukul 8 pagi tadi, sebanyak 259 pusat kuarantin telah beroperasi berbanding 256 pada hari sebelumnya dengan 17,449 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib.

Ismail Sabri berkata,  sehingga semalam seramai 252 rakyat Malaysia pulang ke tanah air dan dikuarantin wajib.

“Seramai 38,371 rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara telah dikuarantin wajib sejak 3 April lalu. 

“Sehingga hari ini, seramai 30,200 individu telah selesai menjalani tempoh kuarantin wajib dan dibenarkan pulang,” katanya. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here