Celcom tawar khidmat percuma untuk barisan hadapan KKM

0
136

KUALA LUMPUR – Petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan (KKM) di 57 hospital yang terbabit menangani penularan Covid-19 akan menikmati perkhidmatan percuma selama sebulan untuk akaun pascabayar Celcom masing-masing bagi Julai depan.

Kalangan petugas KKM yang berdaftar sebagai pelanggan prabayar Celcom pula akan mendapat kredit percuma bernilai RM30 untuk tempoh 30 hari bagi bulan sama, demikian menurut pengendali rangkaian mudah alih itu dalam satu kenyataannya.

Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Bhd Idham Nawawi berkata, kumpulan itu memberi bantuan tersebut sebagai menghargai jasa dan pengorbanan petugas menangani dan membendung penularan pandemik itu di negara ini.

“Oleh kerana mereka banyak berjauhan daripada insan tersayang ketika krisis itu, kebajikan mereka juga tidak kurang pentingnya kepada kami. Justeru, bil pascabayar dan kredit prabayar mereka bagi bulan Julai akan kami tampung,” katanya dipetik Bernama hari ini.

Menurut Idham, selain barisan petugas hadapan perubatan, mereka yang lain seperti anggota polis dan tentera juga mendapat ganjaran dalam bentuk barisan keutamaan khusus di semua outlet bluecube di serata negara.

Rebat khas itu turut dilanjutkan kepada barisan hadapan di hospital tersenarai yang masih belum menjadi pengguna Celcom.

“Petugas hadapan perubatan ini dialu-alukan untuk mendaftar menerusi ‘Pakej Penjawat Awam’ Celcom bagi pelan pascabayar sebelum 15 Jun dan maklumat lanjut boleh diperolehi menerusi ww.celcom.com.my atau kunjungi outlet terdekat bluecube Celcom,” katanya.

Sementara itu, Celcom turut membantu pemandu Grab dan rakan untuk terus berhubungan dengan pelanggan masing-masing sejajar dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang turut mengubah aliran pembelian orang ramai yang kini banyak bergantung kepada perkhidmatan itu.

Sehubungan itu, lebih daripada 120,000 rakan Grab Celcom layak untuk menerima ganjaran termasuk rebat dan tawaran khas.

Bagi menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS), Celcom turut bekerjasama dengan Google dan menganjurkan webinar bagi golongan sasaran dan rakan niaga dalam ekosistem syarikat telekomunikasi itu.

“Menerusi webinar itu, perusahaan berskala kecil mendapat bimbingan mengenai alat dan strategi digital untuk membantu mereka mengatasi keadaan (semasa).

“Malah, kami sememangnya sentiasa berminat untuk mewujudkan situasi yang saling menguntungkan dan memberi sokongan kepada rakan niaga dan pelanggan kami. Usaha ini telah dimulakan dengan membantu PKS menampung impak ekonomi menerusi pembiayaan mikro di bawah Program Bantuan COVID-19 Axiata,” katanya.

Menurut Idham, Celcom juga mendorong PKS mengatasi cabaran ekonomi dengan memanfaatkan kapasiti, kepakaran, perkhidmatan serta rangkaian perniagaan dan menggerakkan penggunaan digital dalam kalangan mereka.

Selain itu, sepanjang tempoh PKP dan PKP Bersyarat, Celcom telah menyediakan pelbagai bantuan komunikasi di beberapa lokasi termasuk pusat kuarantin dan pusat operasi Covid-19.

Inisiatif lain termasuk kemudahan ‘cellular-on-wheels’ di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Risiko Rendah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) dari segi keterhubungan, peruntukan peranti mudah alih, talian prabayar dan pascabayar di Pusat Kesiapsiagaan dan Respons Krisis Putrajaya, Persatuan MERCY/PPUM dan pusat kuarantin di Jerantut dan Bentong (Pahang), Pusat Panggilan Covid-19 Perak serta Pusat Operasi Covid-19 Pulau Pinang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here